Skip to main
Logo Malaysiakini

Hannah: Orang bukan Islam takut dengan PAS sebab kenyataan Hadi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini yang berbaur perkauman menyebabkan orang bukan Islam takut dengan parti itu, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Jelas Yeoh yang juga menteri belia dan sukan, kebimbangan terhadap PAS bukan kerana label 'gelombang hijau'.

"Kena tengok ucapan Abdul Hadi Awang. Banyak komen beliau yang menakutkan rakyat bukan Islam dan itu semua ada dalam surat khabar kenyataan ini.

“Saya setuju semasa Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat) memerintah PAS, rakyat kurang takut kepada PAS tetapi baru-baru ini memang di bawah pimpinan PAS sekarang memang sangat menakutkan rakyat bukan Islam,” kata Yeoh ketika menjadi salah seorang panelis forum bertajuk ‘Referendum PMX atau kerajaan negeri’ yang diadakan dalam talian bersama Bersih dan wakil-wakil parti politik malam tadi.

Selain Yeoh, forum berkenaan turut menampilkan Exco Dewan Pemuda PAS Nazrul Hakim Nazari, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dan Pengerusi Bersih Thomas Fann.

Terdahulu, Nazrul Hakim menjawab soalan mengapa perlu memilih PN pada PRN kali ini sedangkan gabungan itu melayan orang bukan Islam sebagai kelas kedua.

Kata Nazrul, tanggapan tersebut merupakan satu momokan yang sering kali dilemparkan terhadap PAS sejak sekian lama.

“Saya kena bagitahu inilah satu momokan yang dibawa kepada PN dan PAS dari dulu sampai sekarang… terutamanya melayan non Malay-Muslim sebagai second class citizen.

Harmoni di Kelantan, Terengganu

"Perkara ini daripada dulu lagi kita dah nafikan,” katanya.

Menolak bahawa terdapat layanan sedemikian terhadap golongan bukan Melayu-Islam oleh PAS, Nazrul memberi contoh masyarakat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu dapat hidup harmoni di bawah pemerintahan kerajaan PAS.

Malah katanya, mereka boleh mengamalkan agama mereka dengan aman seperti biasa.

“Tak ada satu inci pun patung di rumah ibadat mereka disentuh oleh kerajaan negeri waktu itu," jelas Nazrul lagi.

Presiden PAS pada 29 Jun lalu menuduh mereka yang menjenamakan kemenangan dan kejayaan PAS dalam pilihan raya sebagai "gelombang hijau" cuba menyemai Islamofobia.

Abdul Hadi berkata mereka yang menggambarkan kemajuan PAS dalam PRU-15, khususnya DAP mempunyai tujuan yang nyata songsang terhadap Islam.

"Gelombang hijau" menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata politik selepas pilihan raya Parlimen Julai lalu selepas Perikatan Nasional meraih kemenangan yang menakjubkan, kebanyakannya di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Ketika itu adalah dipercayai secara meluas bahawa pengaruh PAS yang semakin meningkat adalah punca utama kejayaan PN. Justeru istilah "gelombang hijau" digunakan.

Gesaan Abdul Hadi dan PAS ke arah perpaduan berteraskan Melayu bukanlah baru.

Ia semakin ketara dibuat parti itu selepas berakhirnya PRU ke-14 pada 2018 dan menyaksikan PAS bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

PAS juga mengadakan kerjasama secara rasmi memberikan sokongan kepada inisiatif Proklamasi Orang Melayu yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi juga mendakwa masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terbesar menjadi "penyakau" serta terlibat dalam kegiatan rasuah.

Melayu yang bekerjasama dengan golongan terbabit, tambah Abdul Hadi, termasuk golongan cendekiawan yang meletakkan otak di dalam perut.

Dia juga mengumpamakan Melayu dan cendekiawan terbabit seperti kera.

Untuk rekod sebelum ini Abdul Hadi pernah mendakwa kalangan orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terlibat dalam kegiatan rasuah, sama ada sebagai pemberi atau penerima.

Dakwaan itu dikatakan dibuat berdasarkan kepada "kajian" peringkat PhD sebuah universiti tempatan.