Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyelia lombong haram didenda RM200,000

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang penyelia syarikat galian didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini.

Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Saharudin Sa'ya mengaku bersalah atas dua pertuduhan menduduki tanah milik kerajaan negeri Pahang tanpa kebenaran pada Februari dan April tahun ini.

Tertuduh yang berusia 50 tahun adalah penyelia di Syarikat Wanli Mining Constructions Sdn Bhd dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saharudin didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu tanpa kebenaran sah pada 5 April 2023 menduduki tanah kerajaan di kordinat WA 445724, WMA 598316 dan 13 Februari 2023 kordinat WA 598258, WMA 445772, kedua-duanya bersebelahan Pusat Latihan Dan Akademik APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), Kampung Sungai Ular, Kuantan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara untuk suatu tempoh tidak lebih lima tahun.

Tertuduh juga dikenakan hukuman mengikut Seksyen 426 C (3) Kanun Tanah Negara Tanah Negara iaitu perintah pelucuthakakan harta benda digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan kes dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail dan Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Taqiuddin Azizan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan denda minima dan semua kenderaan dan jentera yang disita dikembalikan kepada pemilik berkenaan.

Mahkamah memutuskan hukuman denda RM100,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dan semua jentera disita dilucutkan hak kepada kerajaan negeri Pahang.