Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu tempatan lagi penting dari risalah kempen salah eja - Calon PN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan jauh lebih penting daripada kesalahan ejaan dalam risalah kempen, kata calon PN bagi kerusi DUN Pandamaran B Gunalan.

Ini selepas calon PH di kerusi sama Tony Leong Tuck Chee menyindir Gunalan atas kesalahan ejaan pada risalah dalam berbahasa Mandarin.

"Tony perlu sedar bahawa dia perlu memperbetulkan diri sendiri sebelum mencari kesalahan orang lain.

“Sementara dia sibuk mencari kesalahan dalam penterjemahan risalah kempen, saya ingin mengingatkan dia supaya menumpukan perhatian kepada isu-isu yang dialami oleh penduduk tempatan.

"Sehingga hari ini, walaupun sudah menjadi wakil rakyat di kawasan ini lebih lima tahun, isu banjir, semak samun, kutipan sampah dan juga infrastruktur masih belum diselesaikan.

"Jangan sibuk tengok kesalahan orang, fokus kepada diri kamu dahulu," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Leong (gambar, bawah) yang juga Adun Pandamaran sejak 2018, menyindir Gunalan dengan memuatnaik risalah kempen calon PN di media sosial yang didakwanya mempunyai kesalahan ejaan.

Gunalan membalas sindiran Leong berkata DUN Pandamaran merangkumi kawasan yang luas dan sering mengalami isu banjir kilat yang menyusahkan rakyat selain membawa kerugian wang ringgit.

"Saya ingin bertanya, apa yang telah dilakukan oleh Tony untuk menyelesaikan masalah di sini?

"Apa yang dilakukan olehnya sehingga longkang dan parit setinggi enam kaki semak-samun dan rumput?

"Isu-isu ini tidak sepatutnya timbul jikalau semua pihak menjalankan tugas mereka," katanya.

Dia juga mengambil contoh kawasan komersial di Bayu Perdana, katanya dia berasa hairan bagaimana semak dalam longkang boleh tumbuh sehingga begitu tinggi dan tidak mendapat perhatian pihak berkuasa selama ini.

Sedar dia akan menang

"Ini bukan sesuatu yang baru berlaku, malah sudah berbulan-bulan sehinggakan rumput dan semak begitu tinggi dan hampir menutupi longkang setinggi enam kaki itu.

"Dengan keadaan longkang yang begitu, ia ternyata akan memberi kesan kepada elemen komersial kawasan tersebut," dakwanya lagi.

Bagaimanapun, Gunalan mengakui meskipun dia anak tempatan Klang namun bertanding atas tiket PN melawan Leong, bukanlah satu persaingan yang mudah.

"Saya sedar dia akan menang dengan majoriti yang sangat besar. Dia mahupun partinya dikenali ramai penduduk di sini.

"Tetapi, melihatkan keadaan dan taraf kemudahan ini, biarlah pengundi menilai sendiri jikalau janji dilaksanakan selama ini," katanya.

Gunalan juga merupakan bekas ahli majlis Kuala Langat.

Kerusi Pandamaran menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Gunalan (PN), Tony (PH) dan Tan Kang Yap daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Pada 2018, Tony memenangi kerusi Pandamaran dengan 41,552 undi, menewaskan calon BN Tee Hooi Ling (5,689) dan Santokh Singh Gurdev Singh (1,459) daripada Ikatan.