'Selain media sosial, pengundi muda perlu ke ceramah untuk nilai calon'
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli menggesa pengundi muda untuk hadir ke ceramah kempen di kawasan masing-masing sebelum membuat pilihan mereka dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Adam berkata ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk menilai dan membandingkan calon-calon yang bertanding di kawasan mereka.
"Tempoh kempen ini memberi peluang kepada anak muda mendapat gambaran lebih jelas mengenai calon atau parti politik berbanding daripada apa yang mereka dengar dan tonton di media sosial.
"Jadi, dia boleh dengar cerita sebenar, boleh buat perbandingan dan penilaian. Jadi itu antara elemen penting .
"Saya harap dalam tempoh kempen berbaki dua hari ini, lebih ramai anak muda boleh ke ceramah. Tak kira apa bentuk politik yang dipilih, yang penting perlu beri peluang diri sendiri untuk datang dengar dan buat penilaian," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas peranan pengundi muda dalam PRN ini.
Ketua pemuda PKR itu berkata lagi, dengan turun ke lapangan, pengundi muda berpeluang berinteraksi dengan orang ramai dan berdialog dengan mereka sebelum membuat pilihan di peti undi.
Pada PRN kali ini, seramai 661,905 orang berumur antara 18 tahun hingga 20 tahun layak mengundi di enam negeri.
Menurut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 274,194 pengundi dalam kategori itu di Selangor, diikuti Kedah (104,284), Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017).
Sementara itu, Adam yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya mengingatkan pengundi muda supaya tidak termakan dengan kempen negatif bersifat fitnah dan jahat.
"Saya harap anak-anak muda kita boleh juga lihat dalam sosial media kalau ada kempen-kempen negatif. Saya harap mereka boleh buat penilaian dan perbandingan.
"Jangan termakan dengan kempen negatif sebab kita masuk PRN untuk cari pemimpin, bukan kita nak cari orang bergaduh," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai