Calon PH Kelantan bimbang kawasan DUN makin tercicir
Beberapa calon PH di Kelantan meluahkan kerisauan apabila kawasan dewan undangan negeri (DUN) ditandingi mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini dilihat ketinggalan ke belakang dalam pelbagai aspek walaupun PAS sudah lama mentadbir Kelantan sejak 33 tahun lalu.
Calon PH DUN Kadok (Ketereh), Azizan Abdul Razak berkata suatu masa dahulu kawasan itu lebih maju berbanding kawasan kejiranan namun sejak selepas 15 tahun lalu keadaan sebaliknya berlaku.
"Saya memang anak jati Kadok yang membesar dan tinggal di sini, kita dapat lihat sendiri bagaimana perubahan itu berlaku. Jika dulu Kadok lebih ke depan berbanding DUN Kok Lanas.
“Tetapi hari ini keadaannya terbalik selepas banyak prasarana di bangunkan di Kok Lanas yang diwakili wakil rakyat BN.
"Sedangkan Kadok terus ketinggalan dalam perkara-perkara asas seperti lampu jalan, sistem perparitan, capaian internet dan pasar awam.
“Jika suatu masa dulu terdapat dua pasar di kawasan ini, tetapi sekarang sudah terkubur. Malah papan tanda Kadok pun senget.
"Keadaan ini berlaku selepas 15 tahun Kadok diwakili wakil rakyat PAS yang juga exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur negeri, tetapi banyak perkara yang gagal dibawa ke kawasan ini," kata pemimpin Amanah itu pada wawancara bersama Malaysiakini, baru-baru ini.
Justeru, Azizan yang bakal berdepan dengan penyandang dan juga calon PAS Mohd Azami Md Nor, berkata rakyat sepatutnya boleh melihat apabila wakil rakyat tidak selari dengan kerajaan persekutuan memberi kesan ketara kepada pembangunan setempat.
Sementara itu, calon PH bagi DUN Pengkalan Pasir (Pasir Mas) Rushdan Mustafa (gambar, atas) turut menyuarakan kebimbangan sama khususnya membabitkan fasiliti di kawasan bandar Pasir Mas.
Menurutnya, bandar Pasir Mas kini sedang dalam proses peralihan ke lokasi baru iaitu Bandar Baru Lubok Jong termasuk sebagai pusat pentadbiran jajahan.
"Dalam proses ini menyebabkan bandar Pasir Mas sedang melalui musim yang suram, yang mana pusat pentadbiran sudah berpindah, maka sudah tentu kawasan itu jadi semakin sepi dan kalau tidak ada perancangan yang tersusun dan betul daripada wakil rakyat atau parti politik yang bertangungjawab.
"Ia kini berisiko menjadi sebuah bandar yang mati atau istilahnya bandar koboi.
“Dalam keadaan sekarang bandar Pasir Mas juga dibelenggu dengan masalah-masalah terutamanya sekali masalah banjir, perparitan tidak sempurna menyebabkan air hujan bertakung dan soal kebersihan yang tidak berkesudahan.
"Ini semua menyebabkan bandar Pasir Mas tidak menarik lagi, sedangkan nama Pasir Mas dulunya cukup gah, satu pekan yang hebat, tetapi kini tiada apa lagi yang boleh dibanggakan," katanya.
Bagi calon PH DUN Temangan (Machang) Abdul Kadir Othman pula berdepan rungutan rakyat dalam isu-isu melibatkan kemajuan sektor pertanian.
Katanya, 70 peratus masyarakat di kawasan itu bertani namun sejak sekian lama tiada sentuhan berkesan untuk meningkatkan prasarana dalam sektor itu khususnya oleh pihak kerajaan negeri.
"Di kawasan Parlimen Machang sendiri mempunyai lebih 2,000 ekar kawasan padi yang terbiar tanpa kelolaan mana-mana agensi.
"Justeru manifesto dikemukakan BN dan PH kali ini untuk menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara akan memberi nafas baru kepada pesawah seperti kawasan di bawah agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
"Jadi saya berjanji untuk berikhtiar memajukan sektor pertanian di DUN Temangan supaya pesawah dapat meningkatkan hasil tuaian mereka memandangkan sekarang tuai mereka hanya sekitar 1.3 tan metrik per hektar. Ia jauh ketinggalan dengan kemajuan seperti di Sekinchan, Selangor.
"Selain itu, saya dapat banyak permintaan supaya disediakan kemudahan mesin pengeluaran wang elektronik (ATM) memandangkan mereka terpaksa keluar jauh ke bandar Machang atau Tanah Merah untuk mengeluarkan wang daripada ATM," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, calon PH DUN Tawang (Bachok) Che Mat Isa Che Dir (gambar, atas) berkata pihaknya menerima aduan daripada golongan nelayan yang mahukan jeti yang lebih baik di kawasan itu.
Sepanjang tempoh berkempen katanya, isu kemudahan itu antara yang kerap diutarakan penduduk memandangkan jeti sedia ada sudah uzur dan tidak diselenggara dengan baik.
"Hampir 80 peratus penduduk di Tawang mencari rezeki sebagai nelayan dan terdapat dua jeti di sini tetapi keadaannya hidup segan mati tak mahu. Mereka hanya meminta jeti dinaik taraf untuk keselamatan dan keselesaan.
"Selain itu, isu-isu infrastruktur lain juga menjadi permintaan seperti taman reakrasi, mini stadium serta penyelenggaraan jalan raya yang lebih baik," ujarnya yang juga seorang peguam.
Tambah Che Mat Isa apa yang lebih penting rakyat Kelantan mesti menyahut seruan 'Ubah Kelantan' supaya perubahan-perubahan yang diidamkan lebih mudah dilaksanakan sekiranya BN dan PH mentadbir negeri dan selari dengan kerajaan persekutuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai