Skip to main
Logo Malaysiakini

Menantu Muhyiddin akan pulang secepat mungkin - Peguam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan bersedia untuk membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata anak guamnya yang merupakan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan telah meninggalkan Malaysia sebagai satu cubaan untuk mengelak atau pun menghalang siasatan SPRM.

“Anak guam kami, seperti warga negara Malaysia lain yang bebas, mempunyai hak untuk bergerak termasuk ke luar negara, lebih-lebih lagi untuk menjalankan perniagaannya di mana-mana negara di dunia.

"Penggunaan hak ini oleh anak guam kami tidak boleh ditafsirkan atau disalahtafsirkan sebagai percubaan untuk mengelak atau menghalang penyiasatan.

“Anak guam kami menyatakan yang beliau tidak bersalah dan tidak wajar dibicarakan melalui tanggapan umum oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Beliau bersedia membantu sebarang siasatan dan percaya kepada proses kehakiman tetapi pada masa ia perlu melindungi hak dan kebebasannya mengikut undang-undang,” kata Baljit dan menambah anak guamnya juga telah maklum mengenai larangan perjalanan telah dikenakan ke atasnya kerana pasport beliau telah diklasifikasikan sedemikian oleh Jabatan Imigresen.

Baljit berkata anak guamnya menyatakan yang beliau tentunya akan pulang ke Malaysia secepat mungkin bagi memberikan kesemua jawapan dan membantu SPRM dalam apa-apa siasatan, selagi tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media hari ini berkata SPRM akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasukkan nama dua individu, Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, ke dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol), jika gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Sebelum ini, SPRM dalam kenyataan menyatakan hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati, kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lepas, serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

- Bernama