Skip to main
Logo Malaysiakini

5 calon Muda sedia hadapi gelombang rakyat Selangor

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

WAWANCARA | Meskipun usia politik masing-masing masih mentah, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yakin mereka akan tetap diterima pengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung esok.

Ditemui Malaysiakini di Petaling Jaya baru-baru ini, lima calon Muda yang mencuba nasib di lima kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Selangor menegaskan keyakinan tersebut.

Mereka ialah Azad Akbar untuk kerusi DUN Kota Anggerik, Faralisa Redzuan (Pandan Indah); Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Batu Tiga); Afriena Shaqira Sariff (Sungai Kandis) dan Zayd Shaukat (Subang Jaya).

Mereka bersepakat untuk yakin bahawa parti kecil dan 'hijau' itu mampu mencipta kejutan besar berdasarkan sokongan yang ditujukkan oleh rakyat setakat ini.

"Muda adalah suara yang dibawa oleh rakyat. Semak imbang yang kami ingin lakukan adalah memastikan semua pemimpin yang dipilih oleh rakyat betul-betul menjalankan tugas masing dan berada di landasan yang betul

"Walaupun dalam jumlah kerusi yang kecil, Muda yakin boleh sebab mungkin (wakil rakyat lain) akan ada terlepas pandang isu-isu rakyat," kata Syaidiyah Izzati.

Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen

Jelas anak muda berusia 35 tahun itu, Muda akan kekal sebagai blok ketiga yang bertindak sebagai entiti semak dan imbang jika menang dan tidak akan menyertai kerajaan.

Sementara itu mengulas mengenai dana kempen, Faralisa, 41, menyifatkan kemampuan mereka menjalankan gerak kerja di lapangan sebagai terjemahan keyakinan rakyat kepada parti terbabit.

Katanya, dalam keadaan serba kekurangan dan amat sederhana, dana yang digunakan oleh Muda sepatutnya tidak perlu dipertikaikan.

Sebaliknya kata Faralisa apa yang perlu dipersoalkan orang ramai ialah parti-parti lain yang memiliki "dana mewah".

Faralisa Redzuan

"Dana kami diraih bukan minta daripada syarikat besar, tetapi Muda mengambil pendekatan dengan menjual otak-otak, nasi lemak... Muda mengadakan aktiviti seperti menganjurkan pertandingan badminton.

"Itu cara Muda meraih dana.

"Sokongan masyarakat juga amat baik dan rakyat ingin menyumbang kerana yakin Muda boleh menjadi suara utama mereka untuk dibawa ke DUN," katanya.

Mengulas lanjut Afriena Shaqira, 26, pula menyifatkan parti itu adalah sebahagian daripada gerakan pembaharuan politik kebangkitan negara.

Afriena Shaqira Sariff

Katanya, perubahan pada masa ini menunjukkan kematangan rakyat dalam berpolitik serta penerimaan mereka terhadap parti blok ketiga untuk membawa suara rakyat.

"Saya melihat ada 'kebangkitan politik' dalam Malaysia ketika ini. Contohnya tsunami politik yang berlaku pada 2008 dan 2018, justeru kami bersedia menghadapi gelombang kebangkitan ini.

"Sekarang sudah banyak parti bergabung macam Bersatu dengan PAS, BN dan PH, semua telah berlaku," katanya.

Bagi Azad Akbar, 35, dia pula berpendapat politik perkauman yang dibawa oleh sesetengah parti politik ketika kini hanya akan meruntuhkan pembangunan negara.

Katanya politik kini sepatutnya lebih kepada penawaran idea untuk membangunkan negara dan ekonomi, bukannya menakutkan pengundi dengan sentimen perkauman.

Azad Akbar

"Itu (politik perkauman) hanya menjatuhkan sesebuah negara kerana Malaysia sedia ada merupakan sebuah negara pelbagai kaum.

"Fokus utama sepatutnya isu ekonomi yang semakin mendesak sekarang. Calon Muda amat berjaga-jaga untuk tidak menyentuh isu perkauman," jelasnya.

Ditanya mengenai kesediaan untuk menghadapi kemungkinan tewas dalam PRN kali ini, calon-calon Muda itu menyifatkan ia adalah asam garam dalam perjuangan, namun optimis mereka mampu mencipta kejutan.

Zayd Shaukat

Bagi Zayd Shaukat, 27, dia berpendapat ada ruang untuk Muda mencipta kembangkitan kembali walaupun ditakdirkan mereka gagal melakar kemenangan Sabtu ini.

Menjadikan PKR sebagai contoh, Zayd berkata, PKR juga pernah tewas teruk dalam beberapa PRU sebelum parti itu diterima rakyat dan akhirnya menjadi kerajaan.

"Muda terima (jika kalah), tapi kalau itu terjadi Muda akan lebih kuat. Itu (adalah) asam garam (dalam perjuangan) perjuangan.

"Bagi saya ini juga adalah pengorbanan yang kami lakukan untuk rakyat, Muda akn teruskan perjuangan apa yang telah dijanjikan," jelasnya.

Hal itu lebih diyakini apabila mereka menjelaskan adalah sebuah parti yang berjuang dengan prinsip prorakyat dan pasti memberi nilai tambah kepada mereka.