Skip to main
Logo Malaysiakini

Laungan 'Nismilan Kito Ubah' tak cukup kuat di Negeri Sembilan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) dan BN dilihat begitu selesa berkempen di Negeri Sembilan dan dijangka akan dapat membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu 12 Ogos nanti.

Berbaki sehari hari lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, masih belum ada sebarang kejutan daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menggugat penguasaan PH-BN di negeri itu.

Berdasarkan tinjauan sepanjang kempen berlangsung, sambutan ceramah PH-BN mendapat perhatian luar biasa pengundi.

Setakat ini ceramah mega PN yang dihadiri pemimpin utama mereka masih gagal menyaingi ceramah perpaduan Madani PH.

Sebagai contoh, kehadiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke Bandar Sendayan, baru-baru ini hanya mampu menarik kurang daripada 500 hadirin sahaja.

Namun, kehadiran pemimpin utama PH-BN termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapat sambutan luar biasa di program gabungan itu seperti yang berlaku di Seremban pada 9 Ogos lalu.

PN di Negeri Sembilan berharap kekuatan sokongan pengundi Melayu PAS dan Bersatu serta sedikit pengundi Umno yang kecewa.

Pembangkang juga menggunakan slogan ‘Nismilan Kito Ubah’ (Negeri Sembilan Kita Ubah) sebagai tawaran kepada rakyat negeri itu dalam PRN yang akan berlangsung esok.

PN berharap slogan yang membawa mesej tersendiri kepada pengundi negeri itu akan membantu mereka menembusi negeri berkenaan, sekali gus meletakkan wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri.

Untuk rekod, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di negara yang tidak mempunyai wakil rakyat daripada PN baik di peringkat parlimen mahupun DUN.

Pada PRU ke-14, PH menang 20 kerusi DUN, sementara BN mempertahankan 16 kerusi sekaligus menjadikan PAS dan Bersatu tidak memenangi sebarang kerusi.

Manakala, pada PRU ke-15, PN gagal merampas sebarang kerusi parlimen setelah lima dimenangi BN dan tiga oleh PH.

BN dominasi pengundi Melayu luar bandar

Jika, berdasarkan rekod PRU ke-15 Umno, BN mendapat sokongan padu pengundi Melayu di Negeri Sembilan dan gabungan mereka bersama PH memberi nilai tambah kepada kekuatan mereka.

PH pula sudah pastinya mempunyai kekuatan sokongan pengundi bukan Melayu yang akan memberi kekuatan kepada calon BN selepas kerjasama dua parti itu terjalin.

Pada masa sama, BN dilihat selesa mendominasi kawasan pengundi Melayu khususnya kawasan luar bandar.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan misalnya dijangka tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada menteri pertahanan itu tidak terjejas, malah dijangka akan bertambah.

Bahkan kempen calon BN itu juga tidak terjejas meskipun dia terpaksa cuti sakit beberapa hari lalu.

Menteri besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun juga dilihat tidak akan berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi DUN Sikamat, meskipun berdepan serangan daripada bekas exco kerajaan negeri yang digugurkan, Mohamad Rafie Ab Malek.

Sokongan pengundi muda

Sokongan pengundi muda di Negeri Sembilan berbeza pada kempen PRN ini yang menyaksikan anak muda selesa berada di pentas ceramah PH-BN. Malah mereka tidak malu untuk memakai baju PH mahupun BN.

Berdasarkan statistik PRU ke-15 lalu, sokongan pengundi muda di Negeri Sembilan kepada BN menunjukkan peningkatan ketara berbanding di negeri lain. Bahkan peningkatan lebih 52 peratus pengundi muda Melayu dalam PRN kali ini memberi kekuatan kepada BN dan PH.

Berdasarkan tinjauan, tidak keterlaluan untuk mengatakan tidak mustahil gabungan PH-BN akan menyapu bersih semua kerusi di Negeri Sembilan.

Pun begitu PN dilihat masih mampu memberi saingan sekurang-kurangnya di tujuh kerusi DUN.

Antaranya, DUN Lenggeng, Pilah, Jeram Padang, Linggi, Bagan Pinang, Labu dan Gemas.

Rafiei Mustapha

Di DUN Pilah PN mempertaruhkan Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha bagi merebut kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berdepan calon PH yang diwakili Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi majoriti Melayu.

Rafiei dilihat sedikit berpeluang di kerusi berkenaan kerana menentang calon PH di kawasan Melayu luar bandar tanpa calon daripada BN.

Selain itu, DUN Jeram Padang juga dilihat mempunyai potensi untuk dimenangi PN. Ini kerana kempen calon BN di kawasan itu, Mohd Zaidy Abdul Kadir terjejas selepas dia terbabit kemalangan jalan raya.

Kerusi berkenaan juga merupakan kerusi tradisi MIC dan buat pertama kali ditandingi wakil Umno.

PN pula mempertaruhkan calon berbangsa India bertanding di kerusi itu, S Surash yang pada PRU ke-14 meraih 2,640 undi tewas kepada calon MIC L Manickam, tapi mendahului calon PH Musliadi Sabtu yang mendapat 2,302 undi.

Surash dilihat ada sedikit kelebihan di DUN Jeram Padang yang mempunyai majoriti pengundi kaum India.

Satu lagi kerusi DUN yang dilihat berpotensi dimenangi PN ialah DUN Linggi dengan Zamri Md Said dipertaruhkan di kawasan itu.

Kelebihan sebagai anak tempatan dilihat sedikit memihak kepadanya, namun laluannya tetap sukar.

Selain itu, PN mampu membuat kejutan di DUN Lenggeng, Bagan Pinang, Labu dan Gemas.

Ini setelah mengambil kira jumlah undi yang diterima PN pada PRU15 di kawasan parlimen tersebut mampu memberi cabaran dalam PRN ini.

Dalam pada itu, kemampuan bekas timbalan menteri Eddin Syazlee Shit yang bertanding di DUN Juasseh, dan anak bekas menteri kabinet Rais Yatim, Danni Rais tidak boleh dipandang rendah.

Namun, secara keseluruhan gabungan PH-BN masih dilihat sebagai lebih konsisten dari segi jentera, kekuatan dan sokongan rakyat.

Laungan ‘Nismilan Kito Ubah’ masih tak cukup kuat untuk menggegarkan Negeri Sembilan.