Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | PAS patut jadi lebih berani

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOMENTAR | Pagi tadi tersebar khabar angin yang memberikan bayangan PAS sedang mengalami kebimbangan yang amat di Kelantan.

Kebimbangan itu tentulah jika mereka akan kalah, atau jika Mohd Amar Abdullah terus dibiarkan menjadi Mohd Amar.

Ketika mendapat khabar angin itu, saya baru saja mengeluh kepada sahabat saya, seorang ustaz.

"Teruk benar timbalan menteri besar Kelantan ni," kata saya, "sebab semua masalah rakyat di Kelantan diremeh-temehkan. Seolah-olah tak ada masalah langsung."

Pada pandangan saya, Mohd Amar hanya akan menganggap Kelantan bermasalah jika ada kemungkinan pengundi tidak menyokong PAS.

Sudah tentu ia bukanlah sifat yang betul untuk menjadi pemimpin yang disegani serta berwawasam.

Masalah bekalan air bersih contohnya, berapa banyak kenyataan dibuat Mohd Amar sebenarnya memberi kesan buruk kepada dia. Berhujah dengan menegaskan ada Sungai Kelantan di belakang Tesco, menggali sendiri perigi atau ada orang masih mampu mandi junub tiga kali sehari bukanlah kata-kata yang layak untuk pemimpin seperti Mohd Amar.

Itu belum lagi dikorek pelbagai kenyataannya tentang pembangunan Kelantan. Aduh, boleh down dan “healing sampai pagi” kita kalau nak melayan dia.

Bercakap biar terang

Oleh itu, saya sangat teruja apabila menerima khabar angin bahawa PAS memberi tawaran baru untuk Kelantan. Tapi kegembiraan itu terbantut selepas saya membaca kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Teruslah saya berpantun selepas itu:

Nak nak nak,
Ni ni ni;
Nak,
Tapi tak berani!

Keinginan untuk melakukan perubahan itu ada, tetapi nampaknya PAS tidak berani untuk berterus terang. Bahkan ia seperti sudah menjadi budaya dalam kalangan mereka.

Ia kira-kira macam Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan dan Mohd Amar bermadah seloka di Facebook masing-masing. Ia nampak cantik dari aspek bahasa, tapi amat lemah dari segi kejujuran dan keberanian.

Mohd Amar Abdullah

Jika difikirkan dengan lebih lama, healing sampai pagi lagilah nampaknya kita!

Kata PAS, mereka menawarkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar selepas ini.

Jika Mohd Amar dilantik menggantikan Ahmad Yakob, PAS memang tidak berbohonglah kerana parti itu memang mengetengahkan watak "baru" sebagai menteri besar.

Dan jika PAS tetap dengan keputusan melantik seorang Adun sebagai timbalan menteri besar, sudah pasti dia juga seorang tokoh "baru". Mana mungkin Mohd Amar menjadi menteri besar dan timbalannya sekali gus.

Kerana itu PAS harus menjadi berani. Bercakap biar terang.

Tulis panjang-panjang

Teknokrat itu pula siapa? Saya meneliti senarai calon PAS yang bertanding di Kelantan kali ini namun sebagai anak jati negeri itu, saya gagal mengesan sesiapa yang boleh diharapkan.

Biar saya letakkan kaveat di sini: kita perlu diingat bahawa apabila PAS menyebut watak teknokrat, boleh dianggap bahaw apenanda arasnya dalam konteks semasa ialah Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Dia merupakan pemimpin muda berpotensi tinggi (sekurang-kurangnya di mata ahli PAS) dan berada dalam inner circle Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sejak dari zaman di universiti lagi dia diuar-uarkan sebagai intelektual dan pelapis yang bakal mengemudi PAS pada masa depan.

Tapi itulah, ramai yang sudah melihat bagaimana langkah dan petahnya dia semasa berpencak di pentas debat dengan Rafizi Ramli.

(Sudah healing-kah beliau gamaknya?)

Mengapa saya menulis panjang-panjang begini?

Jawabnya mudah saja. Kalau rakyat Kelantan benar-benar mahukan menteri besar dan timbalan menteri besar yang baru, kita tidak perlukan tawaran PAS tadi.


NAJMUDDIN YUSOFF ialah anak jati Jeli yang masih menjadi pengundi di negeri itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.