Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi: PAS tukar MB Kelantan, timbalan sebab mahu semangat baru

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan menukar menteri besar dan timbalannya jika PAS diberikan mandat mengekalkan pentadbirannya selepas PRN di negeri itu.

Kata Abdul Hadi, PAS mahukan semangat baru di Kelantan.

Menurutnya, pertukaran dua pemegang jawatan itu telah mendapat persetujuan menteri besar sementara Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah.

“Menteri besar (Ahmad) mengundurkan diri kerana uzur. Bahkan dahulu dia merayu supaya tidak dilantik (sebagai menteri besar) tetapi kita minta lagi.

"Memang beliau keuzuran dan kena jalani rawatan, jadi kali ini kita pertimbangkanlah.

“Kita juga mahu supaya ada semangat baru di Kelantan, mahu ada perubahan.

“Sebab itu timbalan (menteri besar Mohd Amar) juga diubah,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ru Rendang di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di Marang hari ini.

Menafikan wujudnya desakan atau isu yang mendorong kepada pertukaran penyandang kedua-dua jawatan itu, Abdul Hadi berkata dia yakin kedua-dua calon baru menteri besar dan timbalannya itu nanti akan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan diterima rakyat.

"Tak ada (desakan). Memang lama sangat memerintah, 30 tahun. Letih yang bertugas,” kata Abdul Hadi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar berkata presiden PAS akan menentukan siapa calon yang bakal dilantik sebagai menteri besar Kelantan, jika mandat keputusan PRN memihak kepada parti itu.

Dia berkata kebiasaannya presiden PAS akan memberikan nama calon kepada pesuruhjaya PAS negeri untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS dijangka memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baru selepas PRN ini.

Takiyuddin berkata gabungan kepimpinan baru yang akan dikemukakan itu adalah seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.