Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: PH terus lena walaupun dah banyak kali dikejutkan - C4

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) memberi amaran bahawa PH hanya mempunyai masa empat tahun lagi bagi memperbaiki kelemahan pentadbirannya susulan keputusan pilihan raya di enam negeri.

Dalam satu kenyataan media hari ini, timbalan Ketua Pegawai Eksekutif badan pemerhati rasuah itu, Sudhagaran Stanley berkata, hal ini hanya boleh dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim melalui pelaksanaan segera reformasi yang dijanjikan tetapi tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan PH pada 2018.

“(Adalah) salah untuk menggelar ini sebagai seruan bangkit (wake up call). Sejak 2018, banyak wake up call telah dibuat, tetapi PH terus menangguhkannya berulang kali. Empat tahun akan datang adalah peluang terakhir.

“Amat jelas orang ramai tidak lagi percaya kepada politik lama. Bagi gula-gula pilihan raya, tabur janji demi janji tidak lagi berkesan.

“Kami mahu melihat reformasi yang pantas dan bermakna. PM (Perdana Menteri) Anwar dan kerajaan perpaduan perlu segera melaksanakan reformasi terhadap institusi di negara ini.

“Ganti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan reformasikan SPRM, pisahkan AG (Peguam Negara) dan pejabat Pendakwa Raya, hentikan melantik ahli politik ke dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan gantikan mereka yang telah dilantik dengan individu berkemampuan tinggi dan berkelayakan untuk memacu pembaharuan dalam GLC ini.

“Gubal undang-undang pembiayaan politik, undang-undang perolehan, Akta Perkhidmatan Parlimen, pinda IPCC (Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis) untuk memasukkan semangat IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis).

“Tubuhkan pejabat ombudsman dan melaksanakan Pelan antirasuah Nasional sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini,” kata aktivis itu.

Sudhagaran berkata kerajaan persekutuan mesti mempercepatkan reformasi ekonomi dan pendidikan, di mana keputusan sukar perlu dibuat demi masa depan negara.

“Kita tidak boleh lagi meneruskan dasar yang lapuk. Tegakkan hak asasi manusia. Setiap rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama mesti dapat menikmati kebebasan yang dijamin di bawah perlembagaan persekutuan dan mendapat manfaat daripada reformasi yang bakal dilaksanakan,” katanya.

Aktivis itu menggesa kerajaan berusaha ke arah itu segera seolah-olah ini adalah tahun terakhir mereka memegang kuasa.

“Seluruh jentera kerajaan mesti digunakan dan mengambil tindakan untuk melaksanakan reformasi ini. Arahkan semula sumber dan kakitangan kerajaan untuk memenuhi tuntutan ini. Tubuhkan pelbagai kumpulan kerja dan beri mereka 6 bulan untuk slesaikan pembaharuan. Ini yang kita nak tengok. Kurang bercakap dan lebihkan tindakan,” kata Sudharagaran.

Dia menegaskan bahawa ini adalah peluang terakhir untuk negara ini yang menyaksikan kemenangan PN dalam pilihan raya negeri di Terengganu, Kelantan dan Kedah, selain berjaya menembusi Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Lebih 70,000 undi pada parti kecil

Aktivis itu menegaskan, berdasarkan data pilihan raya yang ditinjau sepintas lalu mendapati lebih 70,000 pengundi dari lima negeri memilih untuk mengundi parti bukan arus perdana seperti Muda, PSM, PRM dan calon bebas.

Katanya, sama ada mereka ini merupakan penyokong PH atau PN masih boleh diperdebatkan, namun trend ini akan berkembang menjadi gelombang besar jika Kerajaan Perpaduan gagal melaksanakan reformasi secepat mungkin.

“70,000 pengundi dalam kategori ini sudah muak dengan parti politik arus perdana dan janji kosong mereka. Dan adalah kebudak-budakan untuk menyalahkan Muda atau mana-mana parti lain dan calon bebas kerana pecahkan undi kerana parti-parti ini kini dilihat menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan walaupun mereka gagal memenangi kerusi.

"Sama ada mereka akan bertukar menjadi kuasa ketiga masih belum dapat dilihat tetapi kita boleh menjangkakan populariti parti-parti kecil dan calon bebas ini akan berkembang jika kerajaan perpaduan tidak melaksanakan reformasi segera," kata Sudhagaran.