Skip to main
Logo Malaysiakini

Lafaz rukun negara akan dibaca penuh dengan mukadimah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lafaz ikrar Rukun Negara kini akan diselaraskan bermula dengan bacaan penuh mukadimah (preamble) diikuti lima prinsip berkenaan di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan di seluruh negara sebagai usaha menyemai taat setia dan rasa cintakan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (gambar, bawah) berkata cadangan untuk dikembalikan lafaz Rukun Negara dibaca penuh itu telah diluluskan Kabinet pada 25 Julai lepas.

"Dengan kelulusan itu, sekarang kita menggerakkan aktiviti Eksplorasi Rukun Negara dengan bermulanya majlis peluncuran pada hari ini.

“Selepas ini semua aktiviti membabitkan program Rukun Negara yang akan digerakkan ke seluruh negara dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam meningkatkan usaha ini.

“Kita juga mencadangkan supaya lafaz Rukun Negara turut dilakukan pada setiap kali majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya pada Majlis Peluncuran Eksplorasi Rukun Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut Aaron berkata program eksplorasi yang dilancarkan hari ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan Kementerian Perpaduan Negara yang telah merangka program di bawah Flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.

"Usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai agen penyatupaduan rakyat dan membangkitkan sifat patriotisme dalam kalangan mereka.

"Sebelum ini memang ada bacaan lafaz Rukun Negara namun hanya pada lima prinsip sahaja, namun apa yang kita mahu adalah mukadimah yang mengandungi cita-cita Rukun Negara kerana lima prinsip itu hanya rumusan tapi yang menyentuh hati ada pada cita-cita berkenaan," katanya.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik telah disusun di bawah program tersebut bagi menyemarakkan penghayatan Rukun Negara di peringkat tadika, sekolah dan institusi pengajian tinggi, antaranya Dialog Anak Muda, Ekspresi Rukun Negara dan beberapa aktiviti lain.

- Bernama


Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV.

Teks rukun negara:

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;

  • Memelihara cara hidup demokratik;

  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;

  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. Kepercayaan kepada tuhan

  2. Kesetiaan kepada raja dan negara

  3. Keluhuran perlembagaan

  4. Kedaulatan undang-undang

  5. Kesopanan dan kesusilaan