Skip to main
Logo Malaysiakini

Melihat keputusan PRN di bawah sistem perwakilan berkadar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Enam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu akan menyaksikan keputusan yang berbeza di bawah sistem perwakilan berkadar berbanding first-past-the-post (FPTP) yang digunakan ketika ini.

Sistem pilihan raya FPTP menyebabkan pengundi tidak mempunyai wakil yang sama rata dalam cabang perundangan, walaupun dalam situasi pertarungan satu lawan satu.

Jika sistem perwakilan berkadar seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) era Pakatan Harapan (PH) digunakan, keputusan di kebanyakan negeri akan agak berbeza.

Simulasi menunjukkan bahawa gabungan PH-BN yang memerintah akan mempunyai lebih banyak kerusi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu di bawah sistem perwakilan berkadar. Begitu juga sebaliknya bagi Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di Kedah, di bawah sistem FPTP, BN kalah di semua kerusi, PH hanya mendapat 3 kerusi, manakala PN mendominasi 33 kerusi.

Sistem pilihan raya yang diguna pakai ketika ini dengan daerah dibahagikan kepada beberapa kerusi menyebabkan pengundi tidak diagihkan secara sama rata antara kerusi.

Di Kedah, kerusi terkecil mempunyai 25,000 pengundi, manakala kerusi terbesar mempunyai 82,000 pengundi.

Bagaimanapun, sekiranya di bawah sistem perwakilan berkadar, dengan kerusi dalam badan perundangan dibahagikan berdasarkan bahagian undi, keputusan di Kedah akan menyaksikan keputusan yang jauh berbeza.

Dengan 30.11 peratus undi di Kedah, PH-BN akan mempunyai 11 kerusi di bawah sistem perwakilan berkadar, manakala PN akan mempunyai 25 kerusi.

Sementara itu, di Kelantan, dengan 30.54 peratus undi, gabungan Madani akan mendapat 14 kerusi, bukannya hanya dua, manakala PN pula 31 kerusi.

Di Terengganu pula, di bawah perwakilan berkadar, PH dan BN akan mempunyai 10 kerusi, manakala PN akan mendapat 22 kerusi.

Sistem perwakilan berkadar juga akan menyaksikan PN mempunyai lebih banyak kerusi di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di Pulau Pinang, yang menyaksikan PN memperoleh 32.65 peratus undi, gabungan itu akan mendapat 13 kerusi berbanding 11 di bawah FPTP, manakala PH dan BN akan mendapat 27 kerusi.

Di Negeri Sembilan, 37.65 peratus bahagian undi PN akan memberikannya 14 kerusi berbanding lima, manakala PH-BN akan mempunyai 22 kerusi - bermakna gabungan Madani tidak akan mendapat majoriti dua pertiga di negeri ini.

Di Selangor pula, sistem perwakilan berkadar akan menghasilkan keputusan yang sama, dengan PH dan BN memenangi 34 kerusi (60.54 peratus bahagian undi), manakala PN memenangi 22 kerusi (37.8 peratus bahagian undi).

Untuk simulasi itu, undi PH dan BN digabungkan kerana mereka bertanding sebagai satu pasukan dan kedua-dua gabungan itu tidak bertanding di semua kerusi.

Ambang lima peratus juga digunakan, serupa dengan ambang yang ditetapkan di Jerman.

Berdasarkan data semasa, Muda dan PSM tidak akan memenangi sebarang kerusi, kerana gabungan undian tertinggi mereka ialah 1.27 peratus di Selangor.

Walau bagaimanapun, jika ia adalah pilihan raya perwakilan berkadar, Muda dan PSM tidak akan dihadkan oleh berapa banyak kerusi yang mereka tandingi, membuka kemungkinan mereka boleh menerima lebih banyak undi.

Memandangkan trajektori politik semasa Malaysia, peralihan daripada sistem FPTP kepada perwakilan berkadar akan memberi manfaat kepada semua parti politik utama, dengan mengehadkan kemungkinan sesebuah parti kalah di semua kerusi di suatu negeri, dan memastikan penyokong mereka diwakili dengan sama rata dalam cabang perundangan.

Sistem campuran seperti yang diamalkan di Jerman juga boleh dipertimbangkan, dengan pengundi kedua-duanya mengundi calon di kerusi, serta parti atau gabungan di peringkat negeri.

Laporan ERC yang mencadangkan perpindahan kepada sistem pilihan raya perwakilan berkadar telah disiapkan pada 2020 ketika PN memerintah, dan telah diserahkan kepada perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, tiada perkembangan berhubung laporan itu sehingga kini.