Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad: Muhyiddin tak letak jawatan bila PN kalah teruk di Johor, Melaka

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mohd Puad Zarkashi menganggap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bersikap angkuh apabila mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan hanya kerana prestasi BN tidak cemerlang dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu.

Menurut anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, Muhyiddin sendiri tidak meletakkan jawatan apabila partinya gagal menguasai banyak kerusi dalam PRN terdahulu.

"Muhyiddin angkuh apabila suruh Ahmad Zahid letak jawatan.

"Apabila PN kalah teruk di (PRN) Melaka dan Johor dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah," kata Mohd Puad hari ini.

Kelmarin Muhyiddin berkata dua pemimpin utama parti dalam kerajaan, Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid perlu meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi mereka di enam negeri yang menjalankan PRN.

Anwar merupakan pengerusi PH merangkap perdana menteri, manakala Ahmad Zahid menjadi timbalannya.

Muhyiddin juga menganggap PN membuat kejayaan besar apabila menguasai semua kerusi DUN di Terengganu dan hampir menyapu bersih kerusi DUN Kedah dan Kelantan.

Bagaimanapun parti itu gagal merampas Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di sebalik pertambahan ketara dalam bilangan kerusi yang dimenanginya.

Selain Muhyiddin, gesaan agar Ahmad Zahid bertanggungjawab atas prestasi buruk BN itu turut disuarakan secara berlapik dari dalam parti itu sendiri.

Kata Mohd Puad Umno memang perlu mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu dan ia boleh dilaksanakan melalui pembuktian tugas menteri-menteri dari parti berkenaan.

Speaker DUN Johor itu berkata, semua menteri Umno mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat.

"Kuasa di tangan mereka. Sebab itu Umno mesti kekal dalam kerajaan perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama.

"Ahmad Zahid sesuai memikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah," katanya.

Untuk rekod dalam PRN Melaka yang diadakan pada 20 Nov 2021, PN hanya berjaya memenangi dua daripada 28 kerusi DUN negeri berkenaan, manakala PH menguasai lima yang lain.

BN pula memenangi 21 kerusi.

Di Johor pula ada 56 kerusi DUN dan BN memenangi 40 daripadanya, diikuti 13 lagi PH dan Muda. PN pula hanya memenangi baki tiga yang lain.