Kes salah guna kuasa - Mahkamah lepas, bebas Muhyiddin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Hakim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas pedana menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009. Justeru, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan.
“Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.
Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan, ini akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan ke atasnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa itu, yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Muhyiddin, 75, memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Dia memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding, Muhyiddin berkata keputusan hari ini membuktikan dakwaannya sejak awal lagi bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa itu bermotifkan politik.
"Ia bertujuan untuk menekan saya, tuduhan palsu ini tidak membuktikan apa-apa kesalahan.
“Saya akan turun ke padang dan menjelaskan perkara ini kepada rakyat," kata ahli Parlimen Pagoh itu.
"Ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak tertentu. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi.
Ketika bercakap kepada media, penyokong yang berada di sekelilingnya mula mengangkat tangan dan melaungkan 'Referendum', 'Takbir' dan 'Allahuakbar' berulang kali, dan ini mendorongnya turut berbuat demikian.
Muhyiddin, antara lain diwakili oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik, K Kumaraendran dan Rosli Dahlan.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sementara itu, ditanya mengenai status pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Muhyiddin yang tidak berubah susulan keputusan hari ini, Hisyam berkata walaupun pertuduhan masih belum selesai di mahkamah jenayah, dia yakin pertuduhan berkenaan tidak akan kekal.
Peguam itu berkata ini kerana pertuduhan pengubahan wang haram tersebut adalah bergantung kepada tiga predikat iaitu pertuduhan salah guna kuasa. Menurutnya, memandangkan bahawa empat pertuduhan utama salah guna kuasa telah terbatal, maka, pertuduhan lain akan menyusul.
Arahan untuk rayuan
Ketika ditemui media hari ini, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan mempunyai arahan untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Jamil.
“Kami akan memfailkan rayuan petang ini," katanya.
Berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen, Wan Shaharuddin berkata mereka akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pertuduhan itu.
“Buat masa ini arahan yang kami terima ialah memohon untuk menangguhkan kes itu sementara menunggu rayuan di mahkamah rayuan,” katanya.
Perkara itu ditetapkan untuk dibawa ke Mahkamah Sesyen pada 19 Sept.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai