Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan di N Sembilan bukti kerjasama DAP-BN berkesan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun kerjasama DAP melalui PH dengan BN baru berusia lapan bulan, ia sudah menunjukkan kejayaan dan prestasi yang baik di Negeri Sembilan, kata Nga Kor Ming.

Menurut naib pengerusi DAP itu keputusan pilihan raya negeri yang diadakan baru-baru ini perlu dilihat dari segi positif.

“Jelas sekali Negeri Sembilan adalah kes klasik betapa berjayanya kerjasama itu, dan jangan lupa, kami baru ‘berkahwin’ atau berkawan kira-kira tujuh hingga lapan bulan sahaja.

"Beri kami masa tiga hingga empat tahun, saya pasti kerajaan perpaduan akan menjadi lebih kuat, lebih stabil dan menuju ke arah kecemerlangan," katanya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu ditanya mengenai kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil yang mengulas mengenai keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Dalam PRN tersebut secara keseluruhan BN menunjukkan prestasi yang buruk kecuali di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun semua tiga kerajaan negeri yang sebelum ini ditadbir PH bersama BN gagal dirampas oleh PN.

Pada 13 Ogos lalu Isham berkata Umno perlu menyelesaikan isu kerjasama mereka dengan DAP yang menjadi salah satu sekutu PH ekoran kesan momokan yang dikenakan ke atas parti terbabit.

Justeru Isham mencadangkan sama ada Umno terus bekerjasama dengan DAP seperti sekarang atau hanya dalam kerajaan tetapi tidak ketika pilihan raya.

Kata Isham, dengan pilihan kedua itu Umno mungkin boleh membina semula parti tersebut untuk masa depan.

Kata Nga keputusan yang dicapai parti kerajaan di Negeri Sembilan adalah bukti kerjasama yang dijalin itu berada pada landasan yang betul.

Kata Nga, di Negeri Sembilan, Umno hampir saja memenangi semua 17 kerusi yang ditandingi parti itu dan antara lain ia adalah kesan daripada kerjasama yang terjalin.

Untuk rekod dalam PRN tersebut, Umno memenangi 14 kerusi dengan bekas menteri besar dan kini timbalan presiden parti berkenaan, Mohamad Hasan, mencatat majoriti tertinggi iaitu 10,280 undi di kerusi DUN Rantau.

Mengenai kerjasama di Selangor, Nga berkata, PH dan BN juga hampir menguasai DUN dengan majoriti dua per tiga.

“Saya merakamkan penghargaan dan juga terima kasih kepada Umno-BN yang membantu kempen PH apabila kita berjaya mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Selangor pun sikit saja lagi untuk kita kekalkan majoriti dua per tiga.

"Ini adalah permulaan yang baru (dalam politik negara) dan sudah tentu ia permulaan yang baik," katanya.

[Baca berita penuh]