Skip to main
Logo Malaysiakini

AG: Pendakwaan rayu kes Muhyiddin ke Mahkamah Rayuan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam Negara hari ini memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, Idrus Harun, berkata keputusan itu hanya membabitkan empat pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dihadapi pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu itu masih kekal.

Peguam tertinggi kerajaan itu mengesahkan perkara berkenaan pada satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

“Pihak pendakwaan merujuk keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk (Muhammad) Jamil Hussin, disampaikan pada pagi ini dalam kes permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Sebagaimana semua sedia maklum, mahkamah membenarkan permohonan Muhyiddin dan seterusnya memerintahkan pemohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat itu," katanya.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengerusi PN itu untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, atas alasan pertuduhan itu tidak jelas dan melanggar keperluan Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pendakwaan ingin menyatakan bahawa notis rayuan mengenai keseluruhan keputusan telah difailkan hari ini.

“Pihak pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa permohonan yang dibenarkan mahkamah sebelum ini hanyalah atas empat pertuduhan (salah guna kuasa) di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

"Tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 Sept 2023," kata Idrus.

Idrus berkata demikian ketika merujuk keputusan Hakim Jamil yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat itu.

Hakim Jamil melepas dan membebaskan Muhyiddin, 76, setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi presiden Bersatu dan pengerusi PN itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Muhyiddin, sebagai perdana menteri (ketika itu) didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.