Skip to main
Logo Malaysiakini

Koperal polis didakwa terima rasuah RM1,000

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini kerana menerima suapan berjumlah RM1,000.

Tertuduh, Ahmad Amin Mohd Komar, 39 tahun, yang dihadapkan di depan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain, berdepan empat pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki melalui pindahan wang di atas talian ke akaun bank milik isterinya.

Dia yang bertugas di bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik polis daerah Pekan didakwa melakukan kesalahan itu antara Oktober 2017 hingga Mac 2018.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima RM200 melalui pindahan wang secara atas talian pada 3 Oktober 2017 dan RM200 lagi pada 23 Disember 2017.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menerima RM200 pada 26 Januari 2018 dan RM400 pada 2 Mac 2018, juga secara pindahan wang atas talian.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Tertuduh yang diwakili peguam, Melissa Sukri bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah menetapkan RM7,000 sebagai ikat jamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 September ini.