Skip to main
Logo Malaysiakini

Teka-teki bilangan nama calon MB dihantar ke istana Selangor

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Terdapat dakwaan bertentangan berhubung senarai nama calon menteri besar Selangor yang dihantar kepada istana.

Sumber dalaman PH memberitahu Malaysiakini senarai itu mengandungi tiga nama, antaranya menteri besar sementara Amirudin Shari dan Adun Seri Setia Fahmi Ngah yang dilihat dekat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sumber yang rapat dengan Anwar pula memberitahu Malaysiakini hanya satu nama yang dihantar namun tidak menyatakan secara jelas identiti nama itu.

Menurut sumber-sumber PH, bekas pegawai Amirudin, Borhan Aman Shah juga ada dalam senarai itu. Borhan kini masuk penggal kedua sebagai Adun Tanjong Sepat.

Mendakwa tiada apa yang tersirat, sumber dalaman berkata tiga nama itu bagi menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk melihat lebih daripada satu calon sebagai menteri besar baru.

Sumber dari DAP Selangor turut mengesahkan tiga nama dihantar dan menambah Amirudin ditekankan sebagai "pilihan pertama PH".

"DAP Selangor tegas di belakang Amirudin dengan mengambil kira kepimpinannya yang tegas dan lancar sejak lima tahun lalu," katanya yang enggan dinamakan.

Terdahulu, timbul spekulasi kepimpinan tertinggi PH merancang untuk mencalonkan menteri besar Selangor yang baru walaupun setelah Anwar berkata Amirudin adalah pilihan utama PH sebelum PRN yang lalu.

Desas-desus mendakwa Fahmi, 48 (gambar, atas), yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan aeronautik dari Imperial College London, merupakan salah seorang calon yang mendahului senarai.

Pilihan raya negeri pada Sabtu lalu - yang pertama buat Amirudin sebagai menteri besar sementara Selangor - menyaksikan PN menembusi kubu kuat PH itu, terutamanya dari segi undi Melayu.

Amirudin bagaimanapun dapat mempertahankan negeri itu menentang Pengerusi PN Selangor Azmin Ali, yang dianggap sebagai mentornya sebelum dia berpaling tadah daripada PKR dan PH pada 2020.

Mula menjadi menteri besar pada Jun 2018, Amirudin mengambil alih jawatan itu daripada Azmin, yang dinaikkan ke jawatan kabinet selepas PH menang pilihan raya umum 2018.

'Anwar tak akan ambil risiko'

Sementara itu, seorang pemimpin PH Selangor, yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat enggan namanya disiarkan, mengesahkan terdapat perbincangan mengenai pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun, dia tidak percaya Anwar atau mereka yang bersekutu dengannya akan dapat berbuat demikian.

“Amirudin terlalu kuat. Saya tidak fikir perdana menteri boleh mengambil risiko kehilangan kawalan Selangor dengan meletakkan menteri besar yang lemah,” katanya.

Sejak pilihan raya pada 13 Ogos lalu, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang masih tanpa menteri besar kerana majlis angkat sumpah tertangguh berikutan Sultan Sharafuddin Idris Shah menjalani rawatan perubatan di luar negara.

Sultan Selangor telah berangkat kembali semalam dan istiadat angkat sumpah menteri besar dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Pada 2014, PKR pernah melakukan perubahan kepimpinan yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang' untuk menggantikan menteri besar Selangor ketika itu Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas Khalid meletak jawatan, istana Selangor meminta ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR), untuk mengemukakan lebih daripada dua nama daripada parti masing-masing untuk jawatan menteri besar.

PR merupakan gabungan parti yang memerintah Selangor ketika itu sebelum membentuk Pakatan Harapan (PH).

Walaupun PKR dan DAP memihak kepada presiden PKR ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail, PAS, yang merupakan sebahagian daripada gabungan PR ketika itu, tidak bersetuju.

Akhirnya, PKR mengalihkan sokongannya kepada Azmin dan Sultan Selangor mengurniakan perkenan baginda.

Di Johor pula, Adun Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai menteri besar selepas pilihan raya negeri tahun lalu walaupun BN menyerahkan nama penyandang jawatan itu Hasni Mohammad kepada istana.