Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas PAS bantah 'Pesta Songkran', penganjur tukar nama

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penganjur "Pesta Songkran" di Kampar, Perak telah menukar nama acara yang akan datang kepada "Pesta Air Sahom" berikutan bantahan daripada PAS.

Pengarah Urusan Sahom Valley Resort Shariff Ali Jabad Ali berkata keputusan untuk menamakan semula festival yang dijadualkan pada 26 dan 27 Ogos ini dibuat bagi mengelak kontroversi dan menangkis stigma sesetengah pihak terhadap acara itu.

"Program ini pertama kali dianjurkan pada Mei lepas menggunakan nama pesta air dan mendapat sambutan hampir 500 pengunjung.

"Kita harapkan dengan penggunaan perkataan 'Songkran' kali ini ia mampu menarik lebih ramai pengunjung, tetapi berlaku sebaliknya apabila mendapat kritikan segelintir pihak.

"Jadi, bagi menghormati semua pihak program itu dijenamakan semula kepada Pesta Air kerana kami terkhilaf, ia menjadi isu sensitif apabila disebut Songkran dan kami memohon maaf atas kekeliruan itu," katanya pada satu kenyataan di media sosial.

Shariff berkata penganjuran pesta air tersebut bukanlah sebagaimana yang dilihat dalam perayaan Songkran masyarakat Siam, tetapi hanya sekadar aktiviti sukan air bagi pengunjung.

Katanya penggunaan istilah Pesta Songkran dalam hebahan minggu lepas merupakan kesilapan pihak penganjur, tetapi mereka tiada niat untuk meniru pesta, acara keagamaan atau adat resam seperti di negara tetangga itu.

"Kami ambil maklum teguran dan saranan semua pihak khususnya pejabat Adun Tualang Sekah termasuk penduduk kampung yang mempersoalkan penggunaan istilah tersebut," jelasnya.

Adun Tualang Sekah ialah wakil rakyat PKR Mohd Azlan Helmi Helmi.

Sementara itu, Shariff berkata penganjuran program tersebut antaranya bertujuan meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan menarik lebih ramai pelancong.

Terdahulu Pemuda PAS Kampar membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort.

Ketuanya Saiful Islam Abdul Rahman kesal dengan pengumuman terbuka penganjur kepada masyarakat untuk menghadiri festival itu yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip Islam.