Skip to main
Logo Malaysiakini

Semak fakta: Video pesawat terbakar lalu atas bumbung hasil CGI

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebuah video memaparkan pesawat jet besar terhempas di atas bumbung rumah teres adalah imej bergerak janaan komputer (CGI), dan bukannya kemalangan pesawat ringan di Elmina di Selangor, semalam

Menurut pemeriksa fakta Faqcheck Lab, video CGI itu mula-mula dimuat naik ke Youtube Shorts pada 9 Jun 2023, lebih dua bulan lalu.

Video CGI itu tersebar di aplikasi pemesejan seperti WhatsApp di kalangan pengguna Malaysia, dengan keterangan yang mendakwa ini adalah rakaman daripada nahas pesawat ringan di Elmina, semalam.

Jelas Faqcheck Lab, video CGI itu menunjukkan pesawat jet komersial besar dengan bendera AS di ekornya, manakala pesawat dalam kejadian semalam adalah Beechcraft Model 391 (Premier 1).

"Kami meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi atau berkongsi video kemalangan yang tidak disahkan untuk meminimumkan penyebaran maklumat yang salah, dan menimbulkan kesusahan lebih lanjut mengenai kejadian itu," katanya.

Pesawat jet perniagaan ringan yang terbang dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang itu terhempas kira-kira jam 2.50 petang semalam, mengorbankan enam penumpang dan dua anak kapal selain seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta.

Antara mangsa yang menaiki pesawat itu ialah exco Pahang Johari Harun.

Malaysiakini dan Faqcheck Lab adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia Jomcheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip di 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.