Skip to main
Logo Malaysiakini

IGP: Proses pengurusan jenazah mangsa giat dijalankan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Proses pengurusan mayat mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam semalam, kini giat dijalankan bagi membolehkan waris menuntut jenazah ahli keluarga masing-masing dengan segera.

Memasuki hari kedua siasatan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata proses yang melibatkan pengecaman ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada cebisan mayat itu dijangka selesai seawal Isnin ini dan sebanyak 22 waris telah diambil sampel DNA untuk dipadankan.

Ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini, Razarudin berkata proses yang dilaksanakan di Jabatan Forensik, HTAR itu memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan kerana melibatkan pemadanan DNA terhadap kira-kira 200 cebisan mayat.

Sehingga berita ini ditulis, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan masih bermesyuarat di Jabatan Jabatan Forensik HTAR bagi mengetahui status dan perkembangan terkini proses pengecaman identiti mangsa nahas itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menziarahi keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Forensik HTAR petang tadi memaklumkan proses bedah siasat dan pengesanan ujian DNA terhadap 10 mangsa yang terkorban itu akan dipercepat bagi memudahkan pengurusan jenazah.

Anwar turut menyatakan pendirian kerajaan untuk menyediakan bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa bagi meringankan beban keluarga, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Turut menziarahi waris dan keluarga mangsa di HTAR ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata alat perakam suara kokpit (CVR) pesawat malang itu telah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) awal pagi tadi untuk dianalisis.

BSKU, yang merupakan biro di bawah kementerian itu, telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan secepat mungkin.

Bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam temu bual di Bernama Radio berkata tempoh siasatan CVR itu dijangka mengambil selama seminggu jika tiada kerosakan dalaman pada kotak hitam pesawat itu.

Dalam pada itu, laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup berikutan nahas itu semalam, dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3.40 petang tadi.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan yang dibuka semula melibatkan laluan masuk dari Shah Alam ke Elmina barat, dan laluan masuk ke Elmina timur dari Rawang, termasuk susur keluar ke Shah Alam.

Namun, satu daripada dua lorong jalan dari Elmina barat ke Rawang masih ditutup untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Semalam, 10 lelaki terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang melalui tempat kejadian, disahkan maut apabila pesawat dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

- Bernama