Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Memahami dinamik PRN dengan PRU 1990

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kali ini tidak begitu menarik. Masing-masing hanya bertahan di kubu kuat sendiri.

Memang di Selangor ada persaingan sengit, tapi PH dan BN mampu membentuk kerajaan negeri. PN pula mendapat tapak di Negeri Sembilan.

Hakikatnya, PRN lalu adalah pilihan raya orang Melayu. PAS mendominasi Terengganu, Kedah, dan Kelantan yang populasinya 90 peratus Melayu.

Pola pengundian di tiga negeri PH-BN pula menyaksikan kerusi majoriti Melayu mula dikuasai PN. Dengan kata lain, keputusan 12 Ogos lalu menonjolkan kegelisahan orang Melayu terhadap Putrajaya kian meningkat.

Ahli politik PH-BN pula berasa hairan kerana selepas pelbagai bantuan diberikan, undi majoriti Melayu masih sukar dikumpulkan? Apakah bantuan dan ekonomi tidak cukup untuk memancing undi Melayu?

Kebimbangan itu bukan perkara baru. Perubahan kerajaan pusat pada 2018 mengubah struktur politik Melayu dan merobohkan kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan. Apabila kebergantungan itu semakin kendur, maka orang Melayu bertindak lebih agresif terhadap kerajaan.  

Runtuhnya struktur ini menyebabkan orang Melayu rasa tidak ada haluan, mudah beremosi yang kemudian dimanipulasikan pihak tertentu untuk menanam rasa terancam sehingga kurang pertimbangan secara rasional.

Pempengaruh dapat laba

Rasa terancam ini membuat mereka cenderung menolak kerajaan pusat. Buktinya, PN berjaya meraih undi yang signifikan dalam PRN lalu.

Orang Melayu tidak peduli akan naratif undi parti kerajaan hari ini akan untung seperti dulu. Malah, pengundi Melayu boleh bergerak secara kendiri untuk membuat keputusan.

Meskipun isu ekonomi menjadi kebimbangan orang Melayu dalam setiap tinjauan, namun tawaran ekonomi parti politik bukan lagi tarikan utama. Akses ekonomi orang Melayu kian bertambah.

Sebahagian besar penerima mempunyai dua pekerjaan untuk menampung hidup meskipun upahnya rendah.

Ada juga menjadi pempengaruh yang mendapat pendapatan lebih lumayan.

Orang Melayu luar bandar juga selesa dengan ada tanah dan rumah. Ustaz di luar bandar hidup selesa dengan adanya institusi agama seperti tahfiz swasta yang menerima bayaran beribu ringgit daripada Melayu kategori T20 yang menghantar anaknya mempelajari agama.

Malah, ada sekolah tahfiz yang memiliki kemudahan lebih baik berbanding sekolah harian.  

Susah sekalipun, minda orang Melayu sudah tersemat dengan kesanggupan berkorban serta berdikari sehingga ia memudahkan sebahagian daripada mereka menolak kerajaan kerana mereka mampu meneruskan kehidupan.

Trend begini pernah terjadi semasa PRU kelapan (1990). Waktu itu berlaku pergeseran kepimpinan Umno di antara Team A (Dr Mahathir Mohamad) dan Team B (Tengku Razaleigh Hamzah atau popular Ku Li).

Team B menubuhkan Semangat 46 dan bergabung dengan PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi melawan ‘Umno Baru’. Asas kekuatan APU adalah di Pantai Timur, khususnya Kelantan, hasil pengaruh Ku Li dan PAS.  

Kehidupan orang Melayu agak stabil ketika itu. Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 menyediakan kuota khas untuk .Melayu terlibat dalam industri dan perdagangan dengan sokongan pinjaman perniagaan yang lumayan.

Di kawasan luar bandar, kerajaan terus membantu orang Melayu dengan pelaksanaan pembangunan tanah, infrastruktur, dan program subsidi.

Sudah biasa terpinggir

Kerajaan BN turut memberi subsidi khas kepada petani dan motobot kepada nelayan di kawasan terpinggir di Kelantan dan Terengganu menjelang PRU 1990.

Namun, bantuan-bantuan itu tidak memberi kelebihan kepada BN. PAS berjaya merampas Kelantan di sebalik bantuan berkenaan. Mengapa ia boleh berlaku?

Mahathir menjelaskan kekalahan Umno di Kelantan adalah atas faktor parokial Melayu Pantai Timur yang peduli dengan kawasan tempatan tanpa melihat gambaran besar. Mereka tidak peduli dengan politik luar dan menyerahkan isu-isu itu kepada pemimpin.

Pandangan Mahathir itu agak mudah. Hakikatnya, orang Melayu di Pantai Timur mempunyai rasa bangga dengan negeri sendiri dan punya ketahanan yang tinggi selepas terbiasa berdikari dalam soal ekonomi.

Hal itu kerana mereka memang sering terpinggir daripada perancangan pembangunan kerajaan pusat dan negeri.

Elemen agama pula memainkan peranan penting buat mereka sebagai jalan ‘selamat’ mengharungi cabaran hidup. Golongan agamawan dijadikan pemimpin dan panduan dalam kehidupan setempat.

Agamawan juga memberi akses pendidikan, ekonomi, dan bantuan yang lebih bermakna berbanding kerajaan di bawah BN.

Kini, sikap bangga itu telah membesar. Pendekatan media sosial pula mendedahkan kepada mereka lebih banyak kandungan tentang 'ketuanan Melayu' manakala agamawan tertentu menjadi rujukan buat mereka mengharungi hidup yang kian mencabar.

Perkara itu terlihat jelas dalam pola pengundian Melayu dalam PRN baru-baru ini apabila ramai yang cenderung memilih PN meskipun gabungan itu tiada perancangan ekonomi yang jelas.

Adakah kelebihan itu akan dinikmati PN untuk jangka panjang?

PAS-PN sebenarnya cuma menikmati sokongan undi protes daripada akar umbi Umno kepada presiden mereka. Hal yang sama pernah berlaku kepada Umno pada 1990 apabila sokongan untuk parti itu merudum akibat pertembungan dengan Semangat 46.

Perlu kerangka baru

Wawasan 2020 yang dilancarkan Mahathir pada 1991 adalah tindak balas segera kerajaan pusat kepada keputusan PRU berkenaan. Ia dibuat untuk menyatakan hala tuju jelas kerajaan bagi meraih sokongan semua kaum.

Kemudian, Anwar Ibrahim pula memperkenalkan idea Melayu Baru untuk mencipta golongan pertengahan Melayu yang lebih stabil dari sudut ekonomi dan berfikiran progresif.

Hasilnya, Umno-BN dapat mengekalkan kemenangan pada PRU berikutnya (1995) dengan mendapat majoriti dua per tiga. Semangat 46 pula dibubarkan pada 1996 apabila Ku Li kembali menyertai Umno bersama yang lain.

PRU 1990 itu memberi refleksi menyeluruh dalam mengatasi dinamik politik yang berlaku pada hari ini.

Pertama, parti politik yang mempunyai kerangka kebangsaan seperti Wawasan 2020 yang berteraskan Bangsa Malaysia, meliputi kebersamaan orang Melayu dan bukan Melayu, akan terus mentadbir negara dengan kukuh.

Kedua, hubungan kerajaan dan orang Melayu perlukan kerangka baru. Idea untuk menaik taraf kehidupan orang Melayu menjadi golongan kelas pertengahan - atau digelar golongan aspirasi - perlu dilaksanakan dengan segera.

Golongan itulah yang akan mengukuhkan lagi kestabilan politik negara dan boleh menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Mungkin ini juga masa Umno-BN kembali berfikir untuk menjadi parti kebangsaan yang mendapat sokongan semua kaum dan mampu menang pilihan raya berbanding tersepit mencari sokongan majoriti Melayu.

Tapi, perkara ini mungkin sukar kerana Umno-BN sibuk menari mengikut rentak PAS-PN dalam kumpulan Melayu yang telah menolak parti berkenaan.


FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.