Sekarang bukan masa sesuai mansuh Sosma, Akta Hasutan
Bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata sekarang “bukan masa yang sesuai” untuk memberi tumpuan kepada pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau Sosma - dan Akta Hasutan.
Berucap pada majlis Syarahan Parlimen Siri 3.0: Membina Semula Negara Melalui Pembaharuan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur malam tadi Mohamad Ariff menggesa kerajaan supaya lebih menumpukan usaha memperkukuh ekonomi negara dan infrastruktur sedia ada.
Menekankan perlunya kestabilan politik dalam negara, bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata Malaysia kini berdepan dengan isu polarisasi khususnya membabitkankaum dan agama.
Justeru, katanya, akta sebegitu perlu dikekalkan bagi memastikan wujud kestabilan politik di negara ini.
"Saya pernah mendesak pemansuhan Akta Hasutan... Tetapi perkembangan terkini menyedarkan saya bahawa sekarang mungkin bukan masa yang sesuai...
"Jika anda mahukan kestabilan, anda perlu menekan sepenuhnya kebebasan tertentu," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Arif turut menekankan bahawa langkah berhati-hati juga harus sentiasa dilaksanakan bagi memastikan "hak asasi manusia dan maruah manusia" pihak yang ditahan mengikut Sosma dan Akta Hasutan terpelihara.
Ketika disoal oleh hadirin mengenai pendiriannya, Mohamad Ariff berkata, dia tidak menentang pemansuhan atau pembaharuan akta berkenaan, cuma berpendapat negara belum bersedia untuk tindakan sedemikian diambil.
Sebaliknya Mohamad Arif menekankan perubahan itu dibuat secara perlahan-lahan, bukannya serta-merta tanpa melalui pindaan mengikut kesesusaian keadaan.
“Pada akhirnya kita perlu berubah tetapi jangan mansuhkan keseluruhan akta yang ada sekarang tanpa menggantikannya dengan sesuatu yang lain.
"Hal itu kerana kita perlu ada kestabilan politik. Mengekalkan majoriti dua pertiga (di parlimen) bukanlah mudah.
“Kita tak boleh nak berdepan dengan orang yang ‘mengamuk’ dan bercakap macam-macam.
“Malah ketika kita sedang bercakap ini (ada hal-hal yang diperkatakan) sangat membimbangkan. Jadi mesti ada undang-undang untuk menghalang semua ini.
"Apabila negara mula stabil, barulah sesuai untuk kita komited (memansuhkan akta tersebut)," katanya.
Mengulas menangani keperluan reformasi negara, Mohamad Ariff menjelaskan, persoalan yang utama ditanyakan ialah apa yang ingin dicapai oleh Malaysia.
Hanya selepas itu katanya sesuatu pembaharuan boleh dilaksanakan dengan berkesan.
"Jadi patutkah kita disibukkan dengan tugas mempertingkatkan kebebasan dan hak asasi kita, atau sebaliknya patutkah kita mengutamakan reformasi ekonomi?” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai