Skip to main
Logo Malaysiakini

'BN akan jelaskan sebab sertai kerajaan pada pengundi Pulai, Simpang Jeram'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

BN akan memberi penjelasan kepada pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram mengenai sebab parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai kerajaan perpaduan, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan.

Ahmad berkata Umno juga akan menjelaskan mengenai persetujuan DAP untuk menerima empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum BN menyertai kerajaan perpaduan selepas PRU15 lalu.

Dia berkata ia perlu diperjelaskan memandangkan ketidakfahaman pengundi terhadap dua perkara itu dilihat menjadi punca BN dan Umno kalah di tiga negeri serta pertambahan kerusi oleh PN di Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN 12 Ogos lepas.

“Jentera BN akan memberikan mesej dan penjelasan kepada rakyat Johor di dua tempat ini (Pulai dan Simpang Jeram) agar mereka faham, sekali gus dapat mengurus sentimen mereka dengan baik.

“DAP telah bersetuju kepada kedudukan Islam; kedudukan Raja-Raja Melayu; kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan hak istimewa orang Melayu (dalam Perlembagaan),” katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Pemimpin dan Masyarakat Madani dan Kempen Kibar Jalur Gemilang@Pejabat Umno Bahagian Pontian, Johor, hari ini.

Ahmad yang juga timbalan pengerusi Umno Johor berkata kesemua 26 bahagian parti di negeri itu akan turut bekerja keras membantu jentera Amanah dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram.

Dia berkata setiap bahagian Umno akan menjadi ‘bapa angkat’ kepada pusat daerah mengundi (PDM) yang telah ditentukan.

“Dua bahagian iaitu Pulai dan Simpang Jeram (Bahagian Bakri) akan menjadi tuan rumah dan 24 bahagian yang lain akan datang sebagai bapa angkat.

Ahmad berkata dia sendiri akan mengetuai jentera Umno di Pulai dan Adun Buloh Kasap Zahari Sarip akan mengetuai jentera Umno di Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, diikuti pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

-Bernama