PSM: Rampas buku langkah mundur, intimidasi kedai buku bebas
Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengecam langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu sebuah kedai buku semalam, dengan menyifatkannya sebagai intimidasi terhadap penulis, penerbit dan pemilik kedai buku bebas di Malaysia.
"Ia langkah yang regresif dan menunjukkan minda sesetengah pihak berkuasa di negara kita masih terperangkap dalam Zaman Perang Dingin yang sudah lama luput.
"Adalah tidak masuk akal untuk sebuah kerajaan yang mengangkat idea Malaysia Madani melakukan tindakan perampasan buku yang menyekat perkembangan masyarakat madani ke arah yang lebih rasional dan celik politik," kata Ahli Jawatankuasa PSM Choo Chon Kai dalam kenyataan hari ini.
KDN semalam menyerbu kedai Toko Buku Rakyat milik penulis Benz Ali di Wisma Central, Kuala Lumpur.
Dalam serbuan itu, pihak KDN merampas dua buku, berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi karya Benz Ali sendiri.
Benz Ali, atau nama sebenarnya Amir Hamzah akal Ali, menyuarakan kekecewaan terhadap perkara itu apatah lagi menurutnya buku di kedainya tiada dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.
Choo turut mempersoalkan jika serbuan itu dibuat ekoran buku tersebut berkaitan nama ahli falsafah Jerman, Karl Marx.
"Jika buku berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner itu dirampas kerana nama Marx tertera pada tajuknya, maka ia menunjukkan kedangkalan dan kecetekan minda pihak berkuasa apabila berhadapan dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya merangsang pemikiran dan membina kecelikan politik rakyat.
"Hampir mustahil untuk mana-mana orang yang berhasrat untuk menimba ilmu tentang sosiologi dan memahami masyarakat kita tidak pernah membaca tentang pemikiran Karl Marx, sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangannya," katanya.
Katanya, KDN tidak harus menjadi seakan "Kementerian kebenaran" seperti yang digambarkan dalam karya fiksyen 1984 oleh George Orwell dengan menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk menyekat kebebasan ilmu.
"PSM ingin menyatakan solidariti kami kepada Toko Buku Rakyat dan menggesa kerajaan supaya segala intimidasi terhadap kedai buku bebas diberhentikan segera," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai