Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari Kebangsaan: Logo, tema negeri PN beza persekutuan bermotif politik - Adam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang bercadang menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza di empat buah negeri di bawah pentadbiran gabungan itu disifatkan khilaf, tidak patriotik dan bermotif politik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan sambutan Hari Kebangsaan adalah salah satu pendekatan untuk menggambarkan semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia.

“Hari Kebangsaan adalah sambutan seluruh negara, meraikan semangat kemerdekaan, semangat perpaduan dan semangat kenegaraan. Ia tiada kena mengena dengan pegangan atau ideologi parti politik.

“Jadi adalah sesuatu yang amat khilaf bagi mana-mana pihak untuk mengajukan tema berbeza bagi sambutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan di Ipoh, hari ini.

Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata pihaknya kecewa dengan keputusan pembangkang itu dan tidak sepatutnya berlaku.

Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan yang digunakan di peringkat Persekutuan.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza hanya akan memecahbelahkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau yang menyifatkan perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dalam negara berkata sepatutnya kepimpinan PN berjiwa besar, lebih-lebih lagi setelah rakyat membuat pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.

“Sepatutnya kita boleh berjiwa besar, rakyat di negeri yang terlibat PRN telah buat pilihan, tetapi kita jangan meruncingkan lagi perhubungan. Tindakan ini (logo dan tema berbeza) bukan menyatupadukan hubungan malah meruncingkan hubungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di Johor Bahru.

- Bernama