Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi Elmina: Agong kurnia sumbangan pada waris mangsa nahas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang hari ini.

Dalam kunjungan itu, Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang ke Rahmatullah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

Gambar fail, Al Sultan Abdullah mencemar duli melawat tapak nahas pesawat.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu maut, antaranya ialah Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.

Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

- Bernama