15 anggota polis ditahan di pusat hiburan ditahan tugas - Ayob Khan
Seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan, semalam telah dikenakan tindakan tahan tugas.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya juga sedang menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.
"Di peringkat polis, memang kita tidak akan bertolak ansur. Mereka sudah pun ditahan kerja, itu proses biasa dan selepas dituduh dan kalau disabit (bersalah) mereka akan digantung kerja hingga proses rayuan, sekiranya mereka nak buat rayuan, sama ada di mahkamah tinggi atau mahkamah rayuan.
"...jadi proses ini akan makan masa yang lama, yang pasti tindakan telah pun diambil.
"Kita tidak akan bertolak ansur sama ada polis atau lain-lain jabatan yang kita tangkap di pusat hiburan, kita ambil tindakan tegas," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Selain 15 anggota polis tersebut, seorang timbalan pendakwa raya dan seorang pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan itu.
Ayob Khan turut mengesahkan 16 daripada mereka positif dadah melibatkan 14 polis dan kedua-dua penjawat awam terbabit, selain kesemua individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya setakat tahun ini, 741 tindakan tatatertib telah diambil dengan 60 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan buang kerja, sekali gus menunjukkan komitmen Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu tatatertib.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai