Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM Terengganu tahan pegawai k'jaan negeri, isteri

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang penolong pegawai tadbir kanan sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu dan isterinya kerana disyaki menyalahgunakan jawatan sejak 2021 hingga 2022.

Menurut sumber, suspek disyaki memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai anggaran RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.

Suspek juga disyaki mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki oleh sebuah koperasi yang mana suspek merupakan Ahli Lembaga Koperasi dan merangkap Setiausaha Jawatankuasa Perdagangan koperasi tersebut.

Difahamkan, pasangan suami-isteri berusia lingkungan lewat 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Negeri Terengganu semasa hadir memberi keterangan dan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

- Bernama