Saifuddin pertahan KDN serbu, rampas jam tangan Swatch
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan penguatkuasaan baru-baru ini, melibatkan rampasan barangan yang belum diharamkan secara rasmi.
Saifuddin berkata rampasan tersebut dibuat susulan aduan awam dan di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).
Diminta mengulas hujah peguam, New Sin Yew bahawa serbuan dan rampasan jam tangan Swatch bertemakan LGBT sebagai menyalahi undang-undang, Saifuddin menjawab: "Tiada (isu). Kita ada punca kuasa yang jelas".
"Akta yang berkaitan. Akta (PPPA) di bawah kawal selia bahagian penguatkuasaan dan kawalan (Kementerian Dalam Negeri, KDN).
"Ada aduan awam. Pihak KDN bertindak atas aduan," katanya ketika sidang media di KDN hari ini.
Terdahulu, New berkata KDN melanggar undang-undang apabila menyerbu 11 kedai Swatch dan merampas 172 barangan daripada Pride Collection - terdiri daripada jam tangan dalam pelbagai warna pelangi - yang diterima pakai sebagai simbol komuniti LGBT.
Ini susulan pengumuman Kementerian Dalam Negeri yang mengharamkan mana-mana jam tangan Swatch di bawah koleksi itu, kotak, aksesori atau barangan lain yang berkaitan - di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 - yang hanya diwartakan 10 Ogos, iaitu tiga bulan selepas serbuan dilakukan.
Hari ini, Saifuddin berkata Swatch telah mencabar serbuan itu di mahkamah.
"Mereka telah bawa ke mahkamah. Jadi biar ia diselesaikan (di mahkamah), saya tak mahu komen lebih dari itu.
"Ada undang-undang, punca kuasa dan aduan awam, (maka) tindakan dibuat," katanya lagi.
Sementara itu, Saifuddin menyifatkan tidak tepat untuk tindakan KDN terhadap kedai buku Toko Buku Rakyat milik penulis Benz Ali di Kuala Lumpur, baru-baru ini sebagai "serbuan".
"Istilah lebih tepat ialah kami pergi ambil dua buku saja, bukan (rampas) satu kedai, konotasi dibuat kononnya satu kedai dirampas sedangkan kami bertindak atas aduan awam,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai