Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Jika kalah dalam pemilihan PIBG, jangan dibakar sekolah

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KATA MP | Tahniah diucapkan kepada presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan BN atas kejayaan wakil rakyat BN dilantik menjadi ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) di tiga negeri, terutama di Pulau Pinang dan Selangor; di mana BN sebelum ini berada di blok pembangkang sejak 2008.

Ujian pertama telah selesai dan sekarang, kita melangkah masuk ujian kedua iaitu bekerjasama dalam pentadbiran negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sebagai ketua penerangan Umno, saya membaca dengan teliti semua pandangan serta teguran yang dilontarkan semua pihak, tak kira dari dalam parti mahupun luar parti, kerana kita tahu sebagai parti yang ditubuhkan sejak 1946, ini satu manifestasi bahawa ramai yang sayang pada parti ini.

Inilah amalan demokrasi dalam parti di mana setiap ahli boleh beri pandangan. Tetapi dalam konsep demokrasi juga, ada calon kalah dan ada yang menang dalam pilihan raya. Sudah tentu kita tahu dan faham akan realiti ini.

Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah. Menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh - jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan yang dipertua PIBG, usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.

Ada parti politik bermula di tangga mahkamah, dan ada yang masih di tangga mahkamah, malah bertahun bergolak dengan pihak keselamatan. Namun ahlinya tetap teguh merapatkan saf serta berterusan meletakkan keyakinan terhadap pemimpin mereka dan hari ini parti-parti berkenaan telah berjaya memerintah negara selepas PRU14.

Mereka yakin kepimpinan parti akan bawa kejayaan.

Pelik dan ajaib sebenarnya, ketika calon dikemukakan, ia diterima malah bersorak di dalam dewan. Bahkan ketika watikah diberi, pengerusi BN dipuji. Hakikatnya, kita meletakkan calon di 108 kerusi yang berpotensi menang dan berpotensi kalah. Realitinya, itulah sistem demokrasi pilihan raya.

Sebenarnya bagi kepimpinan BN, parti boleh sahaja ambil jalan mudah iaitu fokus kepada kerusi-kerusi yang mudah menang atau di negeri-negeri yang kita tahu telah menerima dan faham formula perpaduan di peringkat kerajaan pusat.

Ketika kita kemukakan 108 kerusi untuk ditandingi, tiada siapa merungut malah ada juga yang merasakan jumlah itu tak cukup. Tetapi hari ini, ada pula suara-suara sinis apabila ada kerusi yang kalah. Suara-suara ini tidak pula kedengaran ketika watikah diserahkan.

Bukan lagi tunjang utama

Pengerusi BN sendiri beri kebebasan kepada perhubungan negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak. Sebab itu saya kata ia tanggungjawab bersama.

Kita lupa, ketika Umno diserang selepas PRU14, presiden tidak meninggalkan Umno. Malah dia turut didesak untuk membubarkan Umno namun tetap berdiri teguh mempertahankan parti keramat ini.

Selepas enggan akur kepada desakan untuk bubarkan Umno, terus didakwa di mahkamah sehingga ke hari ini.

Ketika PRN lalu, tak semua kawasan DUN yang ditandingi calon BN sempat dikunjungi pengerusi BN untuk membantu kempen dalam tempoh singkat ini.

Tetapi realitinya ada kawasan yang tidak dikunjungi pengerusi, calon BN tetap dipilih pengundi sebagai wakil rakyat mereka. Contohnya di DUN Juasseh di Negeri Sembilan.

Memang mudah untuk mendesak pengerusi BN mengundur tetapi BN adalah satu institusi. Kenapa segalanya diletakkan di bahu pengerusi, walhal bukan pengerusi yang bertanding pada PRN lalu.

Sebenarnya, apa yang paling penting dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan mengambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran.

Apa yang perlu kita ubah bukan presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita.

Antara cabaran utama yang kita masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital.

Pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen hingga ada ceramah fizikal tidak mendapat sambutan. Kempen sebenar adalah di platform digital.

Hormati pengasingan kuasa

BN sendiri perlu faham dan akur bahawa kita menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital di saat pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan platform-platform itu bagi mempengaruhi pengundi.

Kita tidak ada peraturan mahupun undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan yang menggunakan dana begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpangkalan di luar negara.

Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan kerajaan perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital.

Adalah penting untuk saya tegaskan, gabungan ini bukanlah satu kesatuan yang sempurna dan ada ruang untuk pembaikan. Apa yang pasti, kerajaan perpaduan ini dibina dengan mencari titik persamaan, iaitu demi agama, bangsa dan negara.

Dan sudah tentu, bagi Umno sendiri parti ini akan terus menjadi suara dalam kerajaan perpaduan selari dengan perjuangannya, iaitu melindungi agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak bumiputera, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu.

Ini termasuk menjadi suara kepada kedaulatan undang-undang dan segala kelemahan, kekurangan dan salah guna dalam pelaksanaan undang-undang dan proses keadilan dibangkitkan melalui saluran yang betul kerana kita perlu menghormati pengasingan kuasa yang terdiri daripada badan eksekutif, kehakiman dan perundangan.

Akhir sekali, izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini - adakah sudah tiba masanya untuk Umno bertanding atas tiket Umno pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN; ataupun di bawah BN tetapi dengan gabungan baru?


AZALINA OTHMAN adalah Ketua Penerangan Umno dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Tulisan ini diambil dari kenyataannya di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.