Skip to main
Logo Malaysiakini

Tindakan Anwar Islamkan saudara baru amalan terpuji - Nik Omar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anak bekas mursyidul am PAS, Nik Omar Nik Aziz mempertahankan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan saudara baru Jumaat lalu.

Katanya, perbuatan terpuji itu tidak perlu dipolemikkan apatah lagi pengislaman itu berlaku tanpa paksaan.

Nik Omar Nik Aziz

"Satu amalan terpuji, mereka yang terlibat sehingga seseorang hamba Allah SWT mendapat hidayah-NYA amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

"Yang penting tiada unsur paksaan, keinginan itu lahir dari setiap individu yang ingin kembali kepada fitrahnya.

"Sesuai dengan sifat Islam, sistem hidup ciptaan pencipta manusia," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Klang, Hushim Salleh, tampil memberi penjelasan berhubung tindakan perdana menteri yang mengislamkan seorang pemuda India di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu berlaku bukan dengan perancangan sebaliknya secara spontan apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

"Pada hari berkenaan perdana menteri Islamkan saudara baru atas permintaan saya sebagai pengerusi Perkim daerah Klang," katanya dalam satu video yang dimuatnaik di media sosial.

Sebelum ini, beberapa kumpulan, termasuk Yayasan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menyatakan rasa kesal dengan tindakan Anwar mengislamkan pemuda berkenaan.

Presiden GHRF, Shashi Kumar berkata sebelum ini orang bukan Islam sering diminta menjaga sensitiviti orang Islam tetapi Anwar sendiri gagal mengambil kira sensitiviti orang bukan Islam.

Shashi Kumar, Presiden GHRF

Sementara KLSCAH dalam kenyataan berkata, walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, Anwar tidak seharusnya mengislamkan individu daripada kaum lain.

Menurutnya, tindakan ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat bukan Islam tetapi juga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

P Ramasamy

Selain itu bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy turut membidas Anwar.

"Tak dapat dibayangkan Anwar mengislamkan seorang pemuda Hindu di sebuah masjid di Klang. Tiada perdana menteri lain yang melakukan perkara itu sebelum ini.

“Kenapa perlu mengislamkan pemuda Hindu dan apakah keistimewaan penukaran agama ini untuk Anwar?” soalnya.