Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukit Aman siasat aktivis persoal PM Islamkan pemuda India

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Aktivis Arun Dorasamy dipanggil memberi keterangan oleh pihak polis semalam berhubung video TikTok yang disiarkannya yang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang lelaki di sebuah masjid.

Arun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi semalam dan disiasat kira-kira setengah jam hingga satu jam, kata peguamnya Rajesh Nagarajan ketika dihubungi Malaysiakini.

“(Arun) menyiarkan video TikTok di mana dia mempersoalkan kewajaran perdana menteri kepada rakyat yang berbeza agama, secara peribadi datang ke situ dan menukar agama seseorang.

“Dia tidak pernah mempersoalkan hak pemuda itu untuk menukar agama. Isunya ialah bagaimana perdana menteri boleh melakukan demikian,” kata Rajesh.

Peguam itu berkata, Arun disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan Arun telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis

Dia menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasanatidak harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Cetuskan pelbagai reaksi

Selain Arun, beberapa pihak lain juga mengkritik Anwar kerana perbuatannya mengislamkan pemuda berkenaan.

Ini termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang menyatakan penyertaan terbuka perdana menteri dalam majlis itu menunjukkan "kurangnya sensitiviti agama".

Kumpulan itu berkata walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, Anwar sebagai perdana menteri tidak seharusnya secara terbuka mengislamkan individu daripada kaum lain.

Anwar juga menerima kritikan daripada bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang II P Ramasamy dan presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global S Shashi Kumar berhubung insiden itu.

Bagaimanapun Ketua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) daerah Klang, Hushim Salleh berkata Anwar mengislamkan pemuda berkenaan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah atas permintaannya.

Menurutnya, perkara itu berlaku secara spontan dan tanpa dirancang apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Beberapa pihak lain turut tampil mempertahankan Anwar termasuk bekas menteri Umno, Khairy Jamaluddin.

Kata Khairy, hanya kerana Anwar seorang perdana menteri tidak menjadikan dia berhenti daripada menjadi seorang Muslim.