Abim: Modul Hadis 40 pupuk kesederhanaan, basmi fahaman melampau
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tepat dengan keperluan semasa dan masa depan negara untuk memupuk kesederhanaan dalam kalangan generasi muda Muslim, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, maka pengenalan modul itu yang hanya untuk pelajar beragama Islam tidak harus dipolemikkan.
"Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.
"Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.
Dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, modul itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu dan bertujuan memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.
Laporan Bernama tentang pelancaran itu tidak menyatakan jika modul ini untuk pelajar Islam sahaja.
Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.
Bagaimanapun, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan hari ini menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bukan hanya bersifat ritual, tetapi mencakupi sebagai "agama dan cara hidup sempurna" umat Islam di Malaysia.
"Justeru Abim menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai