Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Ke arah menjadi negara gasar

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PULASAN | Jika dilihat di tempat lain, lelaki itu amat mudah mengundang tanggapan bahawa dia seorang yang boleh diharap. Mukanya nampak mesra, jenis orang masjid yang berjambang tebal dan agak panjang seperti lelaki Asia Selatan yang lain.

Jika dia berdepan kesusahan, memang layaklah segera dibantu tanpa banyak soal. Keadaannya sudah cukup untuk membuat orang biasa insaf betapa sukar untuk meneruskan kehidupan di negara orang dan saban waktu terkenang keluarga yang ditinggalkan jauh entah di mana.

Apabila malam, dia menjadi pengawal keselamatan. Biasanya mulai jam 7 petang atau lebih sedikit dia sudah bersedia bertugas dan akan berlanjutanlah sehingga pagi esok.

Apabila waktu melepasi jam 10 malam lalu lintas di jalan kawasan perumahan itu akan mula agak lengang. Dan di situlah kira-kiranya kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan.

Namun pada waktu itu jika lelaki Asia Selatan itu bekerja, kepalanya selalu tunduk, manakala matanya tertumpu ke telefon genggam. Entah apa yang ditontonnya.

Lantaklah siapa pun yang lalu di sebelahnya. Dia tidak akan mahu peduli. Untuk memanggung kepala seketika atau mengangkat tangan saja dia tidak mahu.

Kalau pada awal pagi, tubuhnya saja yang ada di situ, manakala fikirannya sudah melayang. Mungkin bermimpi mungkin tidak. Tapi dia selalunya lena diulit dingin malam.

Watak dan persepsi

Selang beberapa lama kemudian tidak lagi kelihatan kelibat lelaki bermisai dan berjambang tebal itu. Susuk yang berkawal di pondok di kawasan petempatan itu berganti dengan lelaki lain.

Lelaki yang baru itu masih lelaki dari wilayah yang sama, tetapi dibezakan oleh bentuk tubuh yang sedikit lebih tinggi dan dagunya selalu bersih dicukur. Dia selalu bertopi. Sesiapa pun yang lalu melintas di bawah palang di sebelahnya, dia akan memandang tepat kepada orang itu dan mengangkat tangan.

Lantaklah jam berapa pun kawasan itu dilewati. Dia akan memanggung kepala dan mengangkat tangan. Sekurang-kurangnya orang yang lalu itu tahu, pengawal pondok itu tidak tidur. Kamera litar tertutup sentiasa berfungsi.

Ia sudah tentu tidak memadai untuk memastikan hanya orang yang berniat baik atau berhak saja memasuki kawasan itu. Tetapi sekurang-kurangnya jika ada yang berniat jahat, sedikit sebanyak akan terfikir bahawa kelibatnya dilihat memasuki tempat tersebut.

Demikianlah, kadang-kadang penampilan dan pembawakan watak seseorang bukan saja boleh memberi persepsi yang salah. Malah ia juga mungkin memberi kesan secara tidak langsung kepada apa yang diyakininya sebagai tuhan dan agama.

Kerana itu seseorang yang memiliki kedudukan tinggi, dihormati, disanjung dan berstatus pemimpin, perangainya perlu sentiasa dijaga. Sudah tentu dia tidak sempurna, namun ketidaksempurnaan itu perlu dijaga.

Perangai perongoih, misalnya, elok disimpan baik-baik dalam almari bilik tidur di rumah saja, bukan dipamerkan dan dibangga-banggakan di khalayak ramai. Malu jika diketahui orang.

Begitu juga keseronokan mencarut kerana mencetuskan gelak ketawa sesiapa yang mendengar kita melabun. Usahlah dibangga-banggakan keasyikan kita suka mencarut.

Kunun-kunun seorang pemimpin yang sporting, atau jika dia seorang ustaz, maka dia akan dilihat sebagai agamawan yang cool. Dia tidak sedar di sebalik keseronokan dan kebanggaan itu ada mata lain yang melihatnya tidak lebih sebagai seorang watak yang koro saja.

Tapi itu bukanlah malang terbesar kerana ada yang lebih parah, iaitulah apabila ada pula orang kenamaan, dihormati, dianggap pemimpin yang cerdik boleh membela kebodohan tersebut.

Perangai buruk disucikan

Kemudian perbuatan busuk kohong itu disertu dengan alasan yang cuba membodohkan orang lain untuk sama-sama menjadi koro seperti dia. Misalnya menyandarkan perangan buruk itu kepada budaya 'orang kampung' tertentu.

Acah-acah meraikan orang kampung di pedalaman Sik, Changlun atau Baling, misalnya, atau di kawasan jauh di pedalaman di Kuala Berang. Walaupun kamu sedang leka melayan berahi berpolitik, setidak-tidaknya kasihanilah orang kampung yang kamu mangsakan sesedap rasa itu.

Lalu disucikan pula perangai buruk itu secara berjemaah dengan menggunakan dalil agama yang disengetkan. Jika itu bukan asabiah, entah apa lagi istilah yang patut digunakan.

Ia tidak boleh dibiarkan begitu saja, apa lagi diraikan dengan gelak ketawa dan rasa OK saja. Merestui perbuatan hodoh tersebut hanya akan menelurkan budaya kurang ajar atau biadab untuk kita tanggung kesannya pada masa depan.

Bayangkan jika suatu hari nanti kita mengadakan majlis rasmi untuk meraikan kedatangan seorang wakil rakyat. Pada ketika itu orang ramai akan saling memaki hamun antara satu sama lain dengan alasan mahu membina kemesraan.

Untuk lebih mengasyikkan orang ramai saling menunjal kepala rakan atau kenalan sebagai suatu ekspresi akrab. Dan memang sesuailah, tambahan pula kalau dilanjutkan dengan memukul kepala dengan kasut juga.

"Lama dok jupe natang ni! " misalnya kalau di Terengganu. Dan orang Perak juga tentu tak mahu ketinggalan. Beramai-ramailah yang bergurau dengan memaki hamun, mencarut dan mentertawakan fizikal orang lain.

Lawak kasar Perak dengan cara Peraknya, lawak kasar Negeri Sembilan dengan cara Negeri Sembilannya, Melaka dengan cara Melakanya.

Asuhan dari awal

Kesudahan yang ingin kita lihat - jika ia dibiarkan tanpa teguran - ialah acara berlawan siapa yang lebih celupar dan yang paling celupar boleh dijulang sebagai tokoh suri teladan buat anak cucu.

Demikianlah cabaran mahu mengangkat martabat insani dalam kalangan manusia. Ia adalah salah satu matlamat yang perlu ada pada setiap manusia yang waras dan beragama. Namun tugas tersebut tidak mudah untuk berdepan dengan orang yang meremehkan maruah.

Dalam banyak keadaan usaha tersebut tidak akan berjaya. Antara lain kerana memang manusia ini malas untuk diajar dengan hal-hal yang baik. Berbuat jahat itu ternyata lebih 'sedap'.

Tambahan pula kita diajar bahawa dunia politik ini memang 'kotor' justeru langkah dan sifirnya kena buruk dan hodoh juga.

Pada masa yang sama pemimpin politik pula menunjukkan contoh teladan yang hodoh dan gasar, sama ada secara perbuatan atau perkataan. Lalu mereka berbangga dengannya.

Untuk berlaku adil, sudah tentu kita perlu akui asuhan agar berperangai baik serta santun itu memang diajar sejak awal. Biasanya seseorang yang bersih hatinya dan matang akan sedar akan batasan baik dan buruk, adab dan biadab, waras dan gila.

Namun jika seseorang itu tetap kelihatan enggan dan jelas bapok gongnya, kita bolehlah bertanya: adakah tingkah laku miskin susila itu benar-benar datang dari budaya kasar sesebuah kampung, atau dia sendiri sejenis manusia yang tidak makan diajar?

Oh ya, contoh perangai gasar dan bebal itu juga mungkin dapat dilihat jika kamu rajin membaca respons daripada artikel ini. Sama ada di bawah sana, atau di media sosial.

Dan kebanyakan daripada mereka itu adalah orang yang mengaku Allah itu tuhan dan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman. Dalam keadaan begitu mereka mempamerkan akhlak yang sangat mengaibkan.

Kira-kira lebih kurang macam pengawal keselamatan yang zahirnya nampak warak tadi.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang mengesyaki orang ramai sedang menunggu Tengku Zafrul Abdul Aziz menyiapkan kandungan TikTok bagi menegur keloloh orang politik berbahasa kesat.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.