PRK Pulai: Cuaca diramal hujan, SPR nasihat calon tiba awal
Kesemua bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dinasihatkan agar tiba awal di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Johor Bahru esok, berikutan keadaan cuaca diramalkan hujan, selain hadir dengan membawa segala dokumen yang ditetapkan bagi kelancaran proses penamaan calon.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus berkata seramai 81 petugas SPR, akan terlibat dalam proses itu esok dan akan turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat kawalan terutama terhadap penyokong.
“Dari segi persiapan kita, semua berjalan lancar seperti dirancang dengan kerjasama agensi terlibat,” katanya pada sidang media selepas lawatan Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, ke pusat penamaan itu, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua penyokong parti yang bertanding, agar tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang proses penamaan calon dijalankan dan berada pada jarak 50 meter dari luar kawasan pusat penamaan.
Tinjauan Bernama di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim petang ini mendapati, persiapan untuk proses penamaan calon masih giat dilakukan oleh petugas SPR, dengan pelbagai notis turut ditampal di setiap sudut dewan untuk perhatian orang ramai serta penyokong parti politik.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai