Skip to main
Logo Malaysiakini

PN syok sendiri? Bualan mulut BN saja, kata Hamzah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK PULAI | Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin hari ini berkata BN boleh kekal dalam penafian berhubung gelombang sokongan yang semakin meningkat terhadap PN, termasuk di Johor.

Bercakap kepada pemberita di luar pusat penamaan calon untuk P161 Pulai, Hamzah berkata BN bebas untuk mendakwa PN sedang "syok sendiri" mengenai tahap sokongan yang diraihnya.

"Mereka boleh kata kita syok sendiri tetapi yang penting itu adalah denial syndrome yang ada pada mereka.

"Masa PRN baru ni pun mereka kata kita syok sendiri juga, jadi ayat syok sendiri itu adalah bualan dari mulut mereka," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-15, PN meletakkan Loh Kah Yong daripada Gerakan dalam pertandingan tiga penjuru untuk parlimen Pulai, menentang penyandang wakil rakyat PH Allahyarham Salahuddin Ayub dan Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed.

Hari ini, Hamzah dan pemimpin PN lain daripada Bersatu dan PAS mengiringi calon mereka, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai Zulkifli Jaafar untuk menyerahkan pencalonannya secara rasmi di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru.

Hamzah turut ditanya sama ada PN telah menukar strategi dengan meletakkan calon Bersatu dan bukannya Gerakan.

"Tidak. Ini membuktikan kita suatu parti yang melihat dari segi kehendak rakyat.

"Kalau rakyat memikirkan bahawa waktu ini kita perlukan calon sebegini, kita letak calon sebegini.

"Ia bukan sebab parti. Kita dengan Gerakan boleh letak di mana sahaja. Boleh duduk, bincang, tak ada masalah," jawabnya.

Pada enam pilihan raya negeri baru-baru ini, Gerakan hanya menang satu kerusi dari 36 kerusi yang ditandinginya di bawah PN, peningkatan daripada status sifar kerusi sebelum ini.