Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PH harap tiada provokasi, MB Johor nasihat jaga tertib

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) N13 DUN Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman berharap tiada provokasi dari pihak lawan sepanjang kempen kali ini.

Katanya, ini kerana calon yang bertanding juga merupakan sahabatnya.

“Alhamdulillah pencalonan berjalan dengan lancar dan cuaca pun baik, mudah-mudahan pada hari mengundi pun cuaca elok.

“Saya juga mendoakan perjalan pilihan raya kali ini dalam keadaan aman kerana parti lawan juga sahabat-sahabat saya dahulu.

"Insya-Allah, saya rasa pilihan raya kali ini dalam keadaan harmoni dan apa pun kenyataan berada dalam yang baik dan itu hasrat saya agar tiada provokasi dan segalanya berjalan dengan baik dan mudah-mudahan diberi kemenangan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas sesi penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, hari ini

Terdahulu SPR mengumumkan pentandingan tiga penjuru di N13 DUN Simpang Jeram, yang berlangsung 9 September ini.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH yang diwakili Nazri, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi turut memberi nasihat kepada parti bertanding supaya berkempen secara berhemah.

“Saya juga minta tolong sebagai menteri besar Johor supaya semua pihak sebelah sana dan sini sama-sama berkempen secara berhemah, tertib baik supaya keharmonian bangsa johor dikekalkan.

“Jangan disebabkan keghairahan berkempen dua minggu, kita terpengaruh dengan cara kawan negeri lain.

“Johor ada cara Johor, bangsa Johor tahu apa saya maksudkan,” tegasnya.

Onn Hafiz juga turut mengingatkan jentera kerajaan bahawa dalam PRK kali ini perlu terus bekerja keras.

“PRK kali ini saya anggap kita sebagai undergdog, perlu bekerja kerjas, usaha dan gigih pastikan ahli dan penyokong dan rakyat seara keseluruhan dapat lihat ketokohan yang akan berjasa kepada rakyat.

“Saya tekankan track record pada calon PH, Nazri yang cukup baik.

“Kawan-kawan kenali beliau, feeedback di MPM (Majlis Perbandaran Muar) juga sangat baik untuk beliau,” kata Onn Hafiz lagi.

Nazri (gambar, bawah) anak jati Batu Tiga, Bakri dan berkelulusan Doktor Falsafah (PHD) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang kejuruteraan.

Calon PH itu sudah berkecimpung dalam politik sejak 30 tahun lalu dan sebelum ini Nazri bertugas sebagai Ketua Bahagian Kejuruteraan di Majlis Perbandaran Muar (MPM).

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, bekas menteri kos sara hidup yang juga timbalan pengerusi Amanah Allahyarham Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Parlimen Pulai boleh dianggap sebagai kubu kuat Amanah.

Pada PRU lalu, Allahyarham mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 33,174 undi.

Dia juga menang di Simpang Jeram sejak kerusi itu diwujudkan pada 2018. Pada PRN Johor pada 2022, Allahyarham mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi.

Di Simpang Jeram pula, pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus pengundi, diikuti Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).