Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanak-kanak lelaki lima tahun maut didera

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelakinya dalam kejadian pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan (gambar judul) berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Serdang pada 12.50 tengah malam selepas dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bantuan kecemasan telah diberikan dan mangsa didapati telah meninggal dunia.

“Maklumat awal mendapati mangsa dikatakan telah dilanggar lori.

“Pemeriksaan lanjut pihak hospital pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki mangsa telah didera dan dipukul di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan sebelum dihantar ke hospital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati kematian kanak-kanak malang itu adalah disebabkan kecederaan pada tisu lembut akibat pukulan objek tumpul.

Anbalagan berkata susulan itu, ibu kandung mangsa, 44, dan teman lelakinya, 29, yang bekerja sebagai pemandu lori telah ditahan.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga telah membuat laporan polis palsu yang menyatakan telah terlanggar kanak-kanak itu dengan lori.

"Siasatan juga mendapati kejadian yang dilaporkan itu tidak berlaku dan kedua-dua suspek telah mengaku mendera mangsa sehingga mati malah lori yang disebut itu juga didapati telah dicuri di Kajang, Selangor.

"Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina dan telah direman tujuh hari sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama