Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalah undi Melayu tak makna beri lebih pada Melayu - Amirudin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Selangor akan tetap berlaku adil kepada semua rakyat di negeri itu, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

"Bila kalah undi Melayu tak bermakna saya akan beri lebih kepada Melayu dan lupakan Cina dan India.

"Ini prinsip kita. Kita kerajaan yang adil. Saya takkan ubah dasar dan teruskan program yang saksama kepada rakyat.

"Kita (Parti) Keadilan Rakyat dan harus berikan keadilan dan melaksanakan keadilan walaupun kadang-kadang menjadi masalah.

"Sebagai seorang beragama Islam, (maka) agama Islam akhirnya berkata perkara akan dinilai dalam kehidupan adalah keadilan," katanya pada majlis pelancaran Persatuan Eksekutif India Selangor (Peis), di Kuala Lumpur.

Peis merupakan organisasi yang menghimpunkan semua ketua cabang PKR Selangor yang berketurunan India dengan Amirudin sebagai penaungnya.

Daripada semua 22 cabang PKR yang ada di Selangor, lapan daripadanya diketuai pemimpin berbangsa India.

Sementara itu, Amirudin berkata sokongan Melayu kepada PN kini berada di kemuncaknya.

‘60% Melayu sokong PN’

"Mereka kini di kemuncak. Bila sudah sampai kemuncak mereka boleh turun atau meningkat lagi. Sebab sokongan mereka dah hampir sampai 60 peratus ke 65 peratus.

"Itu sudah maksimum daripada mana-mana parti yang mendapat sokongan Melayu.

“Kita kurang sikit 30 peratus ke 35 peratus. Tapi, kita tidak boleh bandingkan diri kita, sebab PRU15 tiga penjuru kali ini (PRN) hanya dua penjuru.

"Kalau mereka cuba ulang naratif sama pecah belahkan kita dan sentimen ekstrem (suatu) budaya tak baik untuk masyarakat berbilang kaum, (maka) mereka tak ke mana-mana," katanya.

Pada PRN negeri Selangor, gabungan PH-BN berjaya mempertahankan negeri tersebut selepas memenangi 34 kerusi DUN berbanding PN menang 22 kerusi.

PRN kali ini melihat PN menguasai kerusi-kerusi Melayu sekaligus membuat PH hilang majoriti dua pertiga sejak 2013 di Selangor.