Sultan Selangor titah polis kesan pemfitnah isu sekolah tahfiz
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya pihak polis mengesan kumpulan pemfitnah yang menyebarkan dakwaan kononnya lebih 200 buah sekolah tahfiz di negeri itu telah diarahkan tutup.
"Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
"Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu," titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali baginda.
"Kerana ianya telah secara tidak langsung merisaukan para ibubapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri Selangor.
"Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas," titah baginda lagi.
Sebelum ini muncul dakwaan Selangor sedang dalam proses menutup ratusan sekolah agama persendirian dan ia dikaitkan dengan DAP.
Kerajaan negeri menafikan dakwaan itu dan menegaskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua institusi terbabit didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menurut Kerajaan Selangor, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang dibangkitkan bermula sejak awal 2021 lagi serta bagi mengelakkan kejadian seperti kebakaran maut di institusi agama sebelum ini.
Sesebuah sekolah agama persendirian juga dikehendaki mematuhi beberapa syarat keselamatan.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin pada hari ini bertitah supaya institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya.
"(Ini) supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar.
"Beta juga mencadangkan agar pihak Jakim menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran anstitusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri," titah baginda lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai