Skip to main
Logo Malaysiakini

Cadangan Johari naikkan denda kelakuan MP 'liar' disokong

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Beberapa ahli parlimen dari blok kerajaan menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk menaikkan denda maksimum bagi menghukum wakil rakyat yang berkelakuan tidak wajar.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong, berkata langkah meningkatkan hukuman tersebut - daripada RM1,000 kepada RM10,000 - adalah munasabah demi menjaga maruah Dewan Rakyat.

"Mari kita letakkan noktah kepada tingkah laku tidak terkawal yang telah merosakkan imej parlimen," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, pula berpendapat memang ada keperluan untuk memperkuat peraturan dan adab anggota Dewan Rakyat.

Katanya dengan langkah itu kualiti seseorang ahli parlimen dapat ditingkatkan, sekali gus membuatkan mereka kembali memberi tumpuan penuh kepada perbahasan.

“Bagaimanapun, definisi 'kata-kata kasar' perlu ditakrifkan, manakala jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen dwiparti mesti diberi kuasa untuk melaksanakan keputusan yang telus serta adil jika ada ahli parlimen dirujuk kepada mereka," katanya.

Anggap denda melampau

Sementara itu Syerleena Abdul Rashid berpandangan denda yang lebih tinggi diharap mampu menjadi penghalang seseorang ahli parlimen bertindak sesuka hati di dalam dewan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu menjelaskan, memang ada keperluan untuk semua pihak meningkatkan kualiti perbahasan di Dewan Rakyat.

Walaupun mengakui sesetengah orang mungkin melihat cadangan Johari itu sebagai drastik, Syerleena berkata, langkah tersebut berkesan dalam memastikan semua ahli Dewan Rakyat menjaga kelakuan masing-masing.

Katanya memang ada segelintir ahli parlimen yang cenderung untuk menampilkan diri mereka dengan cara yang agak ‘berwarna-warni' demi mendapatkan sokongan.

Johari Abdul

Namun, tambahnya, ia tidak banyak menyumbang kepada kualiti perbahasan dan penggubalan dasar.

“Cadangan ini harus dilihat sebagai langkah positif yang boleh melindungi institusi serta membina persekitaran yang dihormati apabila semua orang boleh memberikan pandangan mereka tanpa menggunakan mengeji atau menggunakan bahasa yang menghina.

“Sudah tentu ia akan membuatkan sesetengah pemimpin politik berfikir dua kali sebelum mengeluarkan kata-kata kesan dan mengarut di parlimen,” katanya.

Awang Hashim

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, dari PAS yang dihubungi Malaysiakini bagaimanapun berpendapat kenaikan denda itu "melampau".

Sebelum ini memang ada bantahan dibuat oleh sesetengah ahli parlimen.

Namun Johari mempertahankan cadangan itu dan menganggapnya sebagai munasabah dan tidak akan membebankan wakil rakyat terbabit yang menerima elaun dan imbuhan sehingga RM25,000 sebulan.

[Baca berita asal]