Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar konsert Kepci anak Rohingya, bukan dari tahfiz

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sekumpulan remaja yang ditularkan kehadiran mereka pada konsert KEPCI Music Fest di Stadium Malawati, Sabtu lalu bukanlah pelajar tahfiz.

Sebaliknya, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa menjelaskan para pelajar tersebut merupakan pelarian Rohingya yang menuntut di sebuah rumah kebajikan.

"Bila kita lihat balik sebenarnya sekolah ini bukan sekolah tahfiz macam kita, ia lebih kepada pusat kebajikan kepada pelarian Rohingya dan Myanmar yang dikenal pasti di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selain disahkan oleh individu yang menjemput (mereka) sendiri.

"Ada beberapa tahfiz dan pusat kebajikan lain turut dijemput program serupa tapi untuk makan pada sebelah petang sahaja," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Terdahulu tular rakaman video di Tik Tok yang memaparkan sekumpulan remaja didakwa sebagai pelajar tahfiz hadir ke konsert berkenaan yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 syarikat rangkaian makanan segera KFC.

Mereka kelihatan memakai jubah hijau dan berserban putih.

Ekoran itu penganjur dan kerajaan menerima kecaman termasuk daripada pemimpin parti politik.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, misalnya mempersoalkan tindakan pihak menjemput pelajar tahfiz ke konsert itu yang disifatkannya keterlaluan.

"Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu," bidasnya yang juga ketua Pemuda PAS.

Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri premis berkenaan bagi menyaksikan persembahan artis seperti Amy Search, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar dan Bunkface.

Selain itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan meghadiri konsert berkenaan.

Semalam, seorang anak ahli perniagaan terkemuka dari Kelantan, Andrie Ung Han Xian, tampil menjelaskan bahawa dialah orangnya yang bertanggungjawab membawa remaja terbabit ke Stadium Malawati untuk memberi peluang kepada mereka merasai sendiri kemeriahan acara berkenaan.

Fitnah Selangor tutup tahfiz

Dalam perkembangan lain, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) mengulas mengenai isu yang kononnya 200 sekolah agama di Selangor ditutup.

Muhamad Hafiz berkata perkara itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

Pitas kini menaungi lebih 400 maahad tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sementar aitu, Pitas juga bercadang bekerjasama dengan Jais bagi mewujudkan garis panduan khusus untuk menguruskan jemputan pelajar tahfiz ke program luar.

Menurut Muhamad Hafiz, sebelum ini Jais sudah mewujudkan Buku Peraturan Murid (Sistem Pembangunan Sahsiah Murid) bagi intitusi tahfiz persendirian, namun tiada garis panduan khusus berkaitan jemputan pelajar ke program luar.

"Jadi kami nampak mungkin kita boleh duduk (berbincang) bersama Jais, supaya boleh mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan isu ini.

“Adanya garis panduan yang lebih khusus ini, maahad tahfiz dan sekolah agama akan lebih cakna dan berhati-hati dalam memenuhi jemputan luar.

“Kita juga berharap orang ramai tidak menjemput pelajar tahfiz ke tempat yang tidak sesuai seperti konsert, kasihan dengan pelajar,” katanya lagi.