Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Selangor: Zahir semangat merdeka dengan perpaduan jitu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya, dan Malaysia amnya.

"Baginda berkenan mengingatkan seluruh rakyat jelata tentang pentingnya menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme, serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa di Malaysia.

"Baginda mahu semangat ini dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

"Titah baginda, apabila sekalian rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan," maklum hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut bertitah menyeru barisan kepimpinan negara agar berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan-keputusan perancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.

"Baginda mahu agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi," kata kenyataan Istana Selangor itu lagi.