ULASAN | Orang tanpa kerakyatan: Rancangan kejam pinda perlembagaan
ULASAN | Pada ulang tahun Hari Merdeka yang ke-66 ini, kita menyambut kemerdekaan dari cengkaman penjajah yang selama ini telah diperjuangkan secara gigih dan dalam menempa serta menguatkan lagi semangat dan erti nasionalisme kita.
Walau bagaimanapun, kita berhadapan dengan derita golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) pada sambutan merdeka kali ini.
Mereka yang tanpa kewarganegaraan, walaupun hanya mengenali Malaysia sebagai satu-satunya ibu pertiwi mereka, telah dinafikan hak kewarganegaraan, satu hak yang mana telah diambil mudah oleh sebahagian besar dikalangan kita.
Namun sambutan merdeka kali ini telah dicemari kerana kerajaan yang telah menjanjikan reformasi, kini mengambil satu langkah yang aktif yang akan terus menghumban mereka kepada satu keadaan limbo tanpa harapan dan tanpa penyelesaian.
Pada bulan Jun 2023, telah didedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan dengan beberapa pindaan kepada peruntukan utama kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja akan memastikan mereka yang tanpa kewarganegaraan tidak diiktiraf, tetapi turut mewujudkan satu kelas baru golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) yang lebih besar di Malaysia.
Ianya bagai satu mimpi ngeri distopia dan logik di sebalik langkah kerajaan ini tidak dapat difahami.
Malah kerajaan-kerajaan sebelum ini yang tidak melaungkan reformasi atau ketelusan tidak pernah tunduk serendah tahap ini.
Cadangan untuk mengeluarkan seksyen 1(e) di bahagian Kedua Jadual Kedua Perlembagaan, satu peruntukan yang penting untuk mengelak ketidak-warganegaraan di Malaysia, akan membawa kesan yang dasyat kepada mereka yang dilahirkan dalam keadaan tanpa kerakyatan mana-mana negara.
Bayi dan kanak-kanak akan dihukum dari sejak lahir lagi.
Cadangan pindaan ini adalah tidak wajar dan bercanggah dengan objektif asal mengapa peruntukan ini dimasukkan di dalam perlembagaan tersebut. Latar belakang sejarah kemasukan peruntukan ini adalah penting.
Pada tahun 1957, Perlembagaan telah memperuntukkan kewarganegaraan kepada sesiapa yang dilahirkan di dalam negara ini atas prinsip “jus soli”.
Kemudian pada tahun 1962, beberapa pindaan telah dibuat untuk memasukkan syarat bahawa sekurang-kurangnya salah satu ibu bapa adalah seorang warganegara dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak.
Bagi mengelakkan bahaya sesiapa dijadikan stateless (tanpa kewargengaraan) akibat syarat baru ini, maka seksyen 1 (e) telah diperkenalkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Para penggubal pindaan pada 1962, berpandang jauh dan telah memastikan terdapat perlindungan dalam bentuk seksyen 1 (e) tersebut.
Maka keputusan yang tidak masuk akal untuk memansuhkan seksyen 1( e) yang akan mewujudkan satu golongan kelas bawahan yang baru, yang akan tinggal di sebuah negara yang enggan mengiktiraf kewujudan sah mereka dan secara sistemik menafikan mereka dari menyertai masyarakat dalam secara saksama.
Sama ada ianya dilakukan secara sengaja atau tidak, hasilnya adalah satu pembentukan secara jahat (social engineering) kelas bawahan yang baru.
Cadangan pindaan kerajaan ini tidak terhenti di sini sahaja, malah ianya juga bertujuan untuk mengeluarkan seksyen 19B bahagian 3 Jadual Kedua, yang akan turut menafikan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dijumpai (foundling) (kanak-kanak yang dibuang atau anak-anak yatim).
Jelas, pindaan ini bertujuan membatalkan keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes CCH & satu lagi lwn Pendaftar Besar Bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2022] 1 MLJ 71, berkenaan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dijumpai (foundlings).
Ianya juga akan turut membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang berasas serta progresif untuk melindungi kanak-kanak yang dijumpai (foundling) dari status tanpa kerwarganegaraan.
Selain dari itu, terdapat beberapa cadangan pindaan yang lain; hak mendapatkan kewarganegaraan oleh mereka yang bermastautin tetap juga dikeluarkan, menjadikan anak kelahiran kepada mereka yang bermastautin tetap juga menghadapi keadaan tanpa kewarganegaraan.
Sememangnya adalah satu tipu helah serta muslihat yang jelas apabila pindaan ini dipakej bersama dengan cadangan pindaan yang diketahui umum yang harus dilakukan untuk menyelesaikan kesengsaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu yang berwarganegara Malaysia.
Adalah satu tindakan kaunter-produktif, apabila kerajaan ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan ini dari satu segi, tetapi pada masa yang sama mewujudkan golongan baru tanpa kewarganegaraan yang lebih besar.
Maka secara logiknya, golongan ini bukan sahaja tidak akan mengecil, tetapi akan berganda termasuk secara bergenerasi.
Kesan dasyat akibat tanpa warganegara tidak boleh dipandang kecil; mereka yang tanpa kewarganegaraan dihalang dari mendapatkan akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan, pekerjaan dan hak-hak lain sebagai seorang warganegara Malaysia.
Mereka akan terpaksa mengambil pekerjaan-pekerjaan yang dibayar rendah, berbahaya dan juga kerja-kerja yang tidak sah, dan semua ini dalam keadaan di bawah ancaman ditahan atau diperas ugut, termasuk oleh mereka dari kalangan pihak berkuasa.
Secara ringkasnya, larangan ini kekal ke atas golongan ini – memaksa mereka untuk terus diketepikan dan disisihkan selama-lamanya.
Apakah dosa kanak-kanak yang dilahirkan luar nikah sehingga mereka dinafikan satu masa depan?
Mengapakah bayi yang dibuang dan anak-anak yatim dihukum oleh kerajaan untuk suatu keadaan yang bukan dibawah kawalan mereka?
Apakah keadilan bagi mereka yang hanya kenali Malaysia sebagai negara mereka dan masih dinafikan kewarganegaraan?
Cadangan pindaan perlembagan oleh kerajaan ini adalah satu tindakan yang kejam, dilakukan atas tanggapan yang salah iaitu kononnya golongan tanpa kerakyatan adalah satu isu keselamatan.
Sesungguhnya itu adalah tidak benar. Mereka adalah golongan yang malang yang telah ditenggelamkan dan diabaikan melalui keretakan birokrasi di dalam pentadbiran.
Walaupun terdapat bantahan lantang terhadap pindaan ini, kerajaan ini masih berancang untuk mengemukakan pindaan ini kepada Majlis raja-raja bagi kelulusan pada bulan Oktober.
Sesungguhnya slogan perpaduan dan harapan kepada Malaysia yang dicanang oleh kerajaan sempena Hari Merdeka ini tidak seharusnya mengabaikan golongan mereka yang dinafikan kewarganegaraan.
Mereka adalah sebahagian dari kami, rakyat Malaysia yang sama dan penyisihan mereka akan hanya merendahkan martabat kami semua.
Maka, kami menggesa kerajaan ini untuk menggugurkan cadangan pindaan kejam ini dalam perlembagaan.
Dalam semangat sebenar merdeka, adalah tanggungjawab kerajaan untuk menegakkan hak kesemua rakyat Malaysia termasuk mereka yang telah dinafikan kewarganegaraan secara administratif.
Tiada siapa harus ditinggalkan.
AMBIGA SREENEVASAN ialah peguam dan aktivis dan optimist serta pernah berkhidmat sebagai presiden Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).
DR HARTINI ZAINUDIN ialah pengasas Yayasan Chow Kit bekas anggota Majlis Pemulihan Negara (MPN).
LATHEEFA KOYA ialah seorang peguam dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM.
MAALINI RAMALO ialah Pengarah Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA).
Artikel ini kenyataan bersama para penulis di atas dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai