Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia akan hantar nota bantahan pada China isu 'Peta Standard 2023'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata tindakan tersebut merupakan langkah susulan yang diambil kerajaan dalam isu berkenaan.

“Ini merupakan amalan kita (apabila berhadapan isu seperti ini)...dan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam, langkah seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

-Bernama