Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian Perpaduan Negara mohon peruntukan diperbanyak

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Peruntukan bagi pelaksanaan pelbagai program ke arah memantapkan perpaduan kalangan masyarakat majmuk dalam negara akan dipohon untuk dipertingkatkan menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentang Oktober ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia bagi membolehkan pelbagai program berkonsepkan perpaduan yang telah dirancang dapat dilaksanakan tahun hadapan.

"Memang kami ada mohon (peruntukan) untuk diperbanyakkan tetapi saya tidak boleh sebut (butirannya) buat masa ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sambutan Anak Merdeka di Dewan Utama Memorial Tun Hussein Onn, di Kuala Lumpur hari ini.

Aaron berkata komitmen pihaknya adalah bagi memastikan usaha memperkasakan nilai perpaduan dilaksanakan berterusan dan tidak terhenti pada sambutan Hari Kebangsaan sahaja.

Antara lain, menurutnya setakat ini antara program yang telah diperkenalkan pihaknya termasuk lafaz Rukun Negara yang dibaca secara penuh dalam setiap program rasmi kerajaan dan sambutan Minggu Perpaduan.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mencadangkan sekolah vernakular dihapuskan untuk merapatkan jurang antara kaum, Aaron berkata aliran sekolah itu sebaliknya antara komponen yang memupuk perpaduan antara kaum dalam negara.

"Melalui wacana dan forum yang kami laksanakan sebelum ini, kami dapati sekolah vernakular ini memberi manfaat kepada rakyat.

"Di Sabah dan Sarawak, 60 peratus pelajar bumiputera bersekolah di sekolah vernakular malah fasih berbahasa Cina. Maka ia (dakwaan itu) berlawanan," katanya.

- Bernama