Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lelaki ditahan kes hina Sultan Selangor, Sultan Johor di FB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis telah menangkap dua lelaki warga tempatan kerana telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi "mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja."

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam makluman penangkapan itu menjelaskan permohonan tahanan reman terhadap dua suspek itu dibenarkan selama tiga hari mulai hari ini hingga 2 September.

"Suspek pertama yang dipercayai pemilik/pengendali akaun Facebook Flat Earth Malaysia, berusia 41 tahun telah ditangkap di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak.

"(Ini) berhubung hantaran yang berbaur penghinaan terhadap institusi diraja Johor," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaily suspek kedua dipercayai pemilik akaun 'Iman Mustaqim' itu ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya membabitkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R)," katanya lagi.