Skip to main
Logo Malaysiakini

Peta standard China: Ini soal kedaulatan - Ketua Pengarah IDFR

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bantahan Malaysia terhadap Peta Standard China yang menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah berkisar tentang soal kedaulatan, kata Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin.

Dalam konteks diplomasi, diplomat itu berkata kerajaan akan menangkis apa sahaja penerbitan pihak lain yang faktanya tidak tepat atau bertentangan dengan kepentingan Malaysia.

“Sama ada kita telah menghantar nota bantahan atau akan melakukannya dan dalam aspek diplomasi keseluruhan idea ini adalah untuk memastikan kita tidak mudah berpuas hati dengan apa yang berlaku.

“Kita tidak mengiktiraf keputusan sepihak China untuk mengeluarkan peta itu, sama seperti mereka tidak mengiktiraf banyak keputusan sepihak yang dibuat oleh negara lain.

“Dan ini semua mengenai isu kedaulatan. Jadi, malangnya, itulah yang dapat saya katakan mengenainya,” katanya kepada pemberita pada Forum on Cultural and Civilisational Diplomacy: The Framework and Best Practices, di Kuala Lumpur Jumaat.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Kementerian Luar pada Rabu berkata Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan dan peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Khamis berkata kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu.

Mengulas mengenai forum itu, Shazelina berkata ia menandakan kejayaan menyempurnakan program latihan untuk diplomat muda dari Kementerian Luar yang dianjurkan bersama IDFR dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mengulas mengenai forum itu, Shazelina berkata ia menandakan kejayaan menyempurnakan program latihan untuk diplomat muda dari Kementerian Luar yang dianjurkan bersama IDFR dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Program itu bertujuan untuk memastikan mereka (diplomat junior) lebih holistik, berpegang kepada prinsip kita sendiri, kepada kepercayaan moral dan kerohanian kita, dan bukannya hanya mengikut syarat ekonomi, kewangan atau perdagangan.

"Dan itu akan memberi mereka pemahaman lebih baik tentang di mana Malaysia perlu meletakkan dirinya di arena antarabangsa," katanya.

Latihan, merangkumi kecerdasan budaya, emosi dan rohani untuk memperkasakan diplomasi budaya dan tamadun, direka secara unik dari perspektif ketamadunan yang lebih luas untuk meneroka potensi dan kecekapan para peserta serta mereka yang berurusan dengan hal-hal hubungan diplomatik dan budaya.

- Bernama